Perak FC tidak sendirian, kami bersama!

- Advertisement -

SAYA mengikuti perkembangan terkini pasukan bola sepak kesayangan peminat pasukan Perak. Pasukan Perak merupakan antara pasukan gergasi di Malaysia yang mempunyai sejarah yang cukup unik dan tersendiri. Jatuh bangun pasukan Perak bukan kerana seseorang pemain, tetapi jatuh bangun Perak bersama semua pemain dan penyokong setia. Pemain dan penyokong diibaratkan bagai aur dengan tebing.

Perak merupakan antara pasukan paling berjaya dalam pertandingan Piala Malaysia dengan 8 kali kemenangan dan 11 kali menjadi naib juara. Sebelum ini, pasukan yang kita sayangi ini juga menjadi pasukan yang konsisten dan terkedepan dalam bola sepak Malaysia di mana pasukan kesayangan kita ini sentiasa mengakhiri liga di kedudukan lima teratas di dalam Liga Super Malaysia setiap tahun sejak dari zaman semi pro lagi. 

- Advertisement -

Pasukan Perak juga merupakan pasukan pertama yang memenangi Piala Malaysia yang pertama pada tahun 1967 yang mana ketika itu, Perak telah menumpaskan pasukan Singapura dengan keputusan 2 berbalas 1. Jika lihat dari sejarahnya, pasukan kesayangan kita ini memang memiliki rekod yang sangat baik dan cemerlang. Setiap pasukan pastinya ada turun dan naik. Ketika pasukan menang, kita bersorak gembira dengan kejayaan pasukan kesayangan kita. Sebegitu juga apabila pasukan Perak sedang diuji seperti yang berlaku pada hari ini. Inilah masanya kita membina semangat baru, menyokong dan memberi sokongan moral yang jitu kepada para pemain.

Dikhabarkan, pasukan Perak telah pun memulakan langkah awal, mengatur strategi untuk saingan Liga Premier musim hadapan apabila sudah pun menghubungi bekas-bekas pemain yang pernah beraksi bersama Perak sebelum ini dan inilah dia lumrah bola sepak. Saya menyaksikan secara langsung pasukan kesayangan kita ini dicemuh sebelum ini akibat siri kekalahan demi kekalahan sekali gus menyaksikan kejatuhan Perak ke saingan Liga Premier. Kejatuhan ini memberikan tamparan hebat buat pihak pengurusan dan ianya pasti memberikan pengajaran yang berguna kepada semua pihak. Semua ini telah pun berlaku dan berlalu, yang pasti kita selaku penyokong akan terus memandang kehadapan dan menyokong penuh para pemain yang sedia ada.

Teringat peristiwa sewaktu ketika Perak ketinggalan kepada musuh tradisi iaitu pasukan Selangor dalam perlawanan akhir saingan Piala FA pada tahun 1990, pasukan Perak ketika itu ketinggalan dua gol sehingga tamat separuh masa pertama perlawanan. Apabila tiupan wisel separuh masa kedua dibunyikan, pasukan Perak ternyata mendapat suntikan hasil dari sorakan padu penyokong Perak ketika itu yang menyaksikan Perak bangkit dan mencatatkan kemenangan dengan jaringan 4 gol berbalas 2. Peristiwa sama juga berlaku pada tahun 2018, pasukan Perak bangkit pada minit-minit akhir untuk mengikat pasukan Terengganu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. Hasil sokongan padu peminat pasukan perak, Perak berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia lalu menamatkan penantian selama 18 tahun piala Malaysia buat pasukan Perak.

Akhir kalam, pasukan Perak memerlukan kita semua selaku peminat untuk menjadi pemain ke-12 di dalam stadium. Tanpa sokongan dan dukungan kita semua, pastinya pemain pasukan Perak akan rebah dan tiada daya untuk melawan pasukan pihak lawan, Ibarat Sang Seladang yang kehilangan tanduknya, rebah tanpa melawan. Bina semangat baru, Kalian Tidak Bersendirian Perak FC.

USTAZ HAFEZ SABRI
(Penyokong Setia Pasukan Perak) – HARAKAHDAILY 30/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000477873427/posts/7189381851087673/

- Advertisement -