PAS tidak pernah bimbang dengan kekalahan

- Advertisement -

SEHARI dua ini berbagai analisis rambang diperkatakan mengenai langkah-langkah politik PAS. Perkataan biar kalah asalkan berprinsip gagal difahami oleh pemerhati luar. Kerana bagi mereka kemenangan adalah keutamaan dalam berpolitik. Sehinggakan pendekatan matlamat menghalalkan cara menjadi nyawa penting kepada survival politik sebahagian besar  parti. Buat apa berpolitik kalau tidak mahu menang, kata mereka dengan nada memperbodohkan PAS.

Sebenarnya mereka bukan sahaja gagal memahami PAS bahkan perkataan berprinsip atau berintegriti itu sendiri mereka gagal memahaminya. Integriti mereka ialah integriti yang diterjemah dari kamus politik Sekular Barat. Sedangkan integriti tanpa Tuhan sangat jauh bezanya dengan integriti yang berteraskan kepada beriman kepada Tuhan.

- Advertisement -

Intergeriti bagi PAS adalah integriti iman. Kalau politik hanya memikirkan kuasa nescaya Rasulullah S.A.W telah menerima tawaran pemuka Quraisy untuk melantik Baginda menjadi pemerintah Makkah dan orang terkaya di Makkah. Namun Rasulullah S.A.W menolaknya kerana mempertahankan iman dan prinsip tauhid.

Biarlah satu dunia mentertawakan PAS kononnya PAS bodoh kerana tidak merebut peluang untuk menang saat peluang itu datang di hadapan mata. Mereka perlu faham dan wajib faham, bahawa PAS adalah Parti Islam. Islam adalah agama dan agama itu ada halal dan haramnya. Menang dengan melalui pendekatan dan cara yang haram bukan jalan PAS. Kerana itu bukan jalan agama. Bila agama tidak menjadi keutamaan maka di mana lagi prinsip dan integriti PAS sebagai Parti Islam?

Kerana itu sejak dahulu lagi PAS masuk pilihan raya dengan berprinsip. PAS masuk gelanggang demokrasi pincang ini sebagai anak jantan yang bertarung penuh bersih. Tawaran PAS ialah Islam. Sebuah negara dan pentadbiran yang bersih, amanah dan berintegriti menurut Islam. Kalau rakyat terima pendekatan itu maka menanglah PAS. Kalau tak terima PAS akan usaha lagi. Namun untuk menukar prinsip demi sebuah kemenangan itu bukan cara PAS.

Calon-calon PAS masuk gelanggang dengan duit sendiri. Tiada peruntukan disediakan untuk calon-calon PAS hatta jika menang pun tiada bajet khas untuk ADUN-ADUN PAS. Bermula daripada bayaran deposit pilihan raya sehinggalah keseluruhan perbelanjaan diusahakan oleh calon atau penyokong-penyokong calon. Jika ada duit lebih mereka akan cetak poster. Kalau tiada bajet mereka akan cat guni baja dengan lambang PAS. 

Mereka masuk kempen dengan bersih. Tiada sogokan wang dan tiada rasuah politik. Mereka bergerak dengan menggunakan jentera parti bukan jentera kerajaan. Mereka berkempen dengan suara sendiri bukan dengan menggunakan TV milik kerajaan. Hatta mereka tak guna balai raya – balai raya kerajaan sebagai kemudahan kempen. 

Dengan kekuatan yang tulus itulah PAS berjaya memerintah Kelantan puluhan tahun dan menawan beberapa negeri lain. Ingat anak-anak abnaulharakah, PAS menang bukan kerana duit. PAS menang bukan kerana penyalahgunaan kuasa dan PAS menang bukan kerana dunia vs dunia. Sejak dahulu kala PAS menang kerana benar vs kebatilan dan kejujuran vs kejahatan. 

Asolah perjuangan inilah yang diteruskan oleh generasi kepimpinan PAS silih berganti. Kepimpinan ulamak yang dibawa oleh PAS bukan slogan kosong sekadar untuk menarik minat ulamak menyertai PAS. Ulamak dalam PAS bukan patung-patung yang dipakaikan dengan pakaian cantik untuk diperagakan kepada pelanggan di gedung-gedung mewah. Tapi kepimpinan ulamak itu bermakna mempertahankan prinsip dan integriti agama dan hukumnya dalam berpolitik dan memerintah. Siapa pun yang memimpin PAS, ulamakkah dia atau profesional, wajib mempertahankan kepimpinan ulamak itu. 

Oleh itu kewajipan ahli PAS seluruhnya bukan sahaja memastikan mereka istiqamah dengan PAS tetapi memastikan juga PAS istiqamah dengan dasar kepimpinan ulamak dan integriti iman. Kerana itu PAS tidak pernah segan dengan kekalahan bahkan sangat bangga kerana berjaya mempertahankan asolah perjuangan dan prinsipnya. Jangan ingat kami malu dengan kekalahan. Tapi kami sangat malu jika parti ini menggadai prinsipnya demi sebuah kemenangan.

USTAZ MOKHTAR SENIK 
Ahli Jawatankuasa Kerja
Dewan Ulamak PAS Pusat
Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Se-Malaysia – HARAKAHDAIL 30/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100001490058504/posts/4763857960340492/

- Advertisement -