Liputan jalur lebar 4G di Terengganu dan Kemaman meningkat

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Liputan 4G di kawasan berpenduduk di Terengganu meningkat kepada 94.71 peratus pada suku ketiga tahun ini, berbanding 93.68 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku ketiga tahun 2020.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata di Parlimen Kemaman pula, peratusan liputan jalur lebar 4G meningkat kepada 94.61 peratus, berbanding 84.78 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menghasilkan JENDELA yang bertujuan untuk menangani isu akses kepada internet berkualiti bagi perkhidmatan tetap dan mudah alih.

“Setakat Oktober lalu, terdapat sebanyak 911 struktur pemancar komunikasi di Terengganu dan 160 di Parlimen Kemaman,” katanya menjawab soalan lisan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Alias meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia, menyatakan jumlah keseluruhan pencawang sedia ada dan perancangan pembinaan pencawang baru dalam Parlimen Kemaman.

Annuar berkata, antara inisiatif untuk menambah baik infrastruktur digital di Terengganu ialah melalui JENDELA di bawah Fasa 1 yang setakat 31 Oktober lalu, 25 dari 99 tapak menara baharu yang dirancang berjaya disiapkan.

“Bagi projek menaik taraf stesen pemancar, 867 dari 1,109 yang dirancang berjaya disiapkan dan 27,457 dari 41,998 premis tersedia gentian optik yang dirancang berjaya disiapkan,” katanya.

Bagi Parlimen Kemaman, katanya 8 dari 13 tapak menara baharu yang dirancang berjaya disiapkan, 148 dari 208 projek menaik taraf stesen pemancar yang dirancang berjaya disiapkan dan 7,653 dari 9,944 premis tersedia gentian optik yang dirancang berjaya disiapkan.

Secara umum, katanya pelaksanaan semua inisiatif JENDELA bermula sejak September tahun lalu dan inisiatif yang dalam perancangan akan siap secara berperingkat sehingga akhir tahun 2022. – HARAKAHDAILY 30/11/21

- Advertisement -