Isu siput retak seribu: Maritim Malaysia tahan tiga bot fiber

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis berjaya menahan tiga bot fiber tanpa nombor pendaftaran di kedudukan kira-kira 2.6 hingga 2.9 batu nautika barat daya Kuala Perlis, kira-kira jam 5.30 hingga 5.45 petang semalam kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, ketiga-tiga bot fiber yang mencurigakan itu dikesan hasil aduan awam menerusi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis berkaitan aktiviti penangkapan siput jenis retak seribu di sekitar perairan negeri Perlis. 

- Advertisement -

“Sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan serbuan dan berjaya menahan bot tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati, kesemua bot nelayan tersebut berpangkalan di Kuala Perlis disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) kerana mengendalikan bot tanpa lesen yang sah dan Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shafie lagi, satu set sangkar besi berupa tangguk siput dianggarkan bernilai RM500 dan hasil laut jenis siput retak seribu seberat 550 kilogram turut dirampas. 

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk tiga bot, enjin, sangkar besi dan siput retak seribu adalah sekitar RM22,830.

“Turut ditahan, tiga tekong bersama empat kru kesemuanya warga tempatan berumur lingkungan 20 hingga 66 tahun bersama bot.

“Hasil tangkapan siput tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” ujarnya lagi.

Hasil tangkapan siput retak seribu dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan sama, katanya, modus operandi penangkapan siput jenis retak seribu ini adalah menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut bergalah (ekor biawak) atau enjin sangkut.

“Siasatan juga turut mendapati, dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran berkenaan telah bertindak membuang sangkar besi berupa tangguk siput ke dalam laut bagi menghapuskan bukti melakukan aktiviti penangkapan siput jenis retak seribu.

“Aktiviti penangkapan siput di perairan Kuala Perlis merupakan satu kesalahan kerana Jabatan Perikanan Negeri Perlis tidak mengeluarkan sebarang lesen bagi aktiviti penangkapan siput. 

“Lesen atau permit untuk aktiviti penangkapan siput hanya dikeluarkan di negeri Kedah dan hanya dibenarkan menjalankan aktiviti berkenaan di perairan negeri itu sahaja,” katanya.

Aktiviti ini, menurut Shafie, akan menyebabkan habitat ekosistem marin terjejas dalam jangka masa panjang, mengancam pembiakan, memusnahkan benih-benih ikan di dasar laut serta turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan pesisir pantai. 

Tiga lokasi penahanan bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang disyaki melakukan pelbagai kesilapan di kedudukan kira-kira 2.6 hingga 2.9 batu nautika barat daya Kuala Perlis petang semalam.

“Rententan aktiviti haram ini, nelayan pesisir pantai terpaksa menanggung kerugian apabila pukat mereka rosak dan koyak kerana tersangkut dengan kulit siput yang telah mati.

“Oleh itu, kita sentiasa mengambil maklum terhadap aduan awam berhubung sebarang pelanggaran undang-undang yang berlaku di laut dan Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan rondaan serta pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Untuk sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – HARAKAHDAILY 30/11/2021

- Advertisement -