Inisiatif baharu tangani penurunan hasil cukai

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif percukaian bagi mengatasi penurunan kutipan hasil cukai, selain usaha berterusan untuk menstruktur sistem percukaian yang seimbang dan adil dalam usaha meningkatkan hasil negara.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa, berkata inisiatif ini khusus kepada syarikat atau individu yang terjejas akibat pandemik Covid-19 melalui pakej bantuan dan rangsangan sejak hampir 18 bulan lalu.

- Advertisement -

Beliau berkata, antara langkah untuk membantu syarikat dan individu yang terjejas adalah penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022.

“Seterusnya, pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman atau pembiayaan bagi pembiayaan antara rakan setara (P2P) serta lanjutan pengecualian duti setem ke atas perjanjian penstrukturan semula atau penjadualan semula pinjaman dan pembiayaan (R&R).

“Selain itu, lanjutan rebat cukai bagi penubuhan entiti baharu PMKS dan lanjutan elaun pelaburan semula tambahan serta lanjutan galakan cukai bagi kos pengubahsuaian dan pembaharuan premis perniagaan,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mohd Khairuddin meminta Menteri Kewangan menyatakan rancangan kerajaan mengatasi pengurangan kutipan hasil cukai dan dapat memberi peluang kepada syarikat atau individu yang terjejas akibat pandemik untuk kembali bangkit.

Sementara itu, Yamani Hafez berkata, inisiatif bagi individu pula adalah pelepasan cukai pendapatan dan pengurangan cukai jualan ke atas kenderaan yang melibatkan 100 peratus untuk kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus kenderaan import sepenuhnya (CBU).

“Begitu juga pelupusan hartanah oleh warga negara dan pemastautin tetap, selain syarikat tidak dikenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi tahun ke enam dan seterusnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/21

- Advertisement -