Harga barang naik: Kesungguhan kerajaan ditagih

- Advertisement -

MUTAKHIR ini, rakyat Malaysia resah dan gelisah dengan kenaikan mendadak harga barangan keperluan. Baik harga ayam mahupun harga sayur-sayuran. 

Umum mengetahui bahawa kita semua masih dalam suasana endamik COVID-19. Rakyat masih dalam keadaan fasa memperbaiki ekonomi keluarga selepas pandemik yang melanda. Ramai yang kehilangan punca pendapatan keluarga.

- Advertisement -

Rakyat ibarat dalam fasa bangkit untuk memulakan kehidupan baru setelah dalam keadaan kesempitan selama hampir dua tahun sepanjang pandemik yang melanda.

Kenaikan harga barangan ini sangat membebankan rakyat. Kita telah menyaksikan banyaknya kes bunuh diri. Kes masalah rumahtangga. Salah satu puncanya adalah masalah ekonomi atau kewangan. Kita sebolehnya tidak mahu lagi perkara seperti itu berlaku lagi dalam negara kita.

Jika ditanya kepada peniaga mengapa menjual dengan harga yang tinggi, maka mereka akan menyalahkan pembekal. Jika ditanya pembekal mereka akan menyalahkan pembekal atau pemborong. Jika ditanya kepada pemborong, maka mereka akan menyalahkan penternak atau petani. 

Jika ditanya petani atau penternak mereka akan menyalahkan pembekal dedak makanan haiwan ataupun pembekal baja dan racun tanaman. Situasi ini tidak ubah seperti kisah bangau oh bangau yang tidak habis-habis salah menyalahkan antara satu sama lain.

Justeru, PAS Kawasan Johor Bahru dengan penuh kesungguhan memohon kepada pihak Kerajaan Malaysia sebagai bapa atau pemimpin di dalam negara ini yang mempunyai kuasa penuh dan autoriti tertinggi untuk mengawal dan menyelesaikan isu ini. Kerajaan perlu segera dan komited membanteras seandainya ada kartel-kartel yang mengawal atau mendominasi industri-industri ini.

Ingatlah akan amaran dari Baginda Nabi Muhammad S.A.W yang menyatakan bahawa yang bermaksud: 

“Dari Ibn Umar R.A. Dari Nabi Muhammad S.A.W, Baginda bersabda: “Kalian adalah pemimpin dan kalian akan dimintai pertanggungjawaban atas kepemimpinan kalian. Seorang penguasa adalah pemimpin, seorang suami adalah seorang pemimpin seluruh keluarganya, demikian pula seorang isteri adalah pemimpin atas rumah suami dan anaknya. Kalian adalah pemimpin yang akan dimintai pertanggungjawaban atas kepemimpinan kalian”.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kepada sekalian saudara rakyat Malaysia yang amat dikasihi, sementara kita menunggu perkara ini diselesaikan adalah baiknya sama-sama kita berdoa agar segala urusan sesama kita dimudahkan oleh Allah S.W.T. Sama-sama kita bersabar dalam pengharapan kita. Pastinya Allah S.W.T senantiasa mendengar dan memahami keluhan semua hamba-Nya. 

Amalkan langkah penjimatan, dan berbelanja secara berhemah. Banyakkan bertanya khabar sesama kita dan saling bantu-membantu saudara-mara dan jiran tetangga yang kita ketahui kewangan mereka dalam keadaan kekurangan. 

Insya-Allah pasti akan ada satu jalan keluar yang terbaik yang akan Allah S.W.T kurniakan kepada kita. Siiru ‘Ala Baarokatillah.

HALIM YAN
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Johor Bahru – HARAKAHDAILY 30/11/2021

- Advertisement -