Dua pelancong dari Afrika Selatan transit di Singapura positif Omicron

Kapal terbang SIA dirakam sebelum terbang ke Sydney di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 6 Mei, 2021. (FOTO AFP)
- Advertisement -

SINGAPURA: Dua pelancong dari Afrika Selatan yang transit di Singapura telah disahkan positif varian baharu Covid-19, Omicron sebaik tiba di Sydney.

Para penumpang tiba di Sydney dengan Singapore Airlines (SIA) SQ211, yang berlepas dari Singapura pada 10.30 pagi Ahad (28 Nov) dan mendarat di Sydney pada 9.20 malam hari yang sama.

Dalam kemas kini harian Covid-19, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata lewat malam Isnin (29 Nov), dua pelancong berkenaan telah berlepas dari Johannesburg, Afrika Selatan pada 27 Nov melalui SQ481 dan tiba di Lapangan Terbang Changi pada hari yang sama untuk penerbangan transit mereka ke Sydney, lapor CNA.

- Advertisement -

MOH berkata, ujian pra-berlepas penumpang SQ481 di Afrika Selatan pada 26 Nov adalah negatif untuk Covid-19 dan kebanyakan daripada mereka kekal berada di kawasan transit di Lapangan Terbang Changi sehingga kapal terbang berlepas ke Sydney pada 28 Nov.

“Mereka tidak memasuki Singapura atau melawat kawasan lain di Lapangan Terbang Changi. Tujuh orang turun (dari kapal terbang), yang mana enam daripadanya kini sedang menjalani notis tinggal di rumah selama 10 hari di kemudahan khusus dan akan diuji menggunakan ujian tindak balas rantai polimerase.

“Seorang daripada mereka adalah kenalan rapat individu yang dijangkiti dalam penerbangan, dan telah dikuarantin. Pengesanan kenalan sedang dijalankan untuk kakitangan lapangan terbang yang mungkin kontak sementara kes itu,” kata MOH.

Terdahulu pada hari Isnin (29 Nov), Kementerian Kesihatan New South Wales (NSW Health) dalam satu kenyataan media berkata, kedua-dua penumpang terbabit tiba di Sydney dari Afrika Selatan dengan penerbangan SIA SQ211 yang sebelum itu singgah di Singapura untuk transit.

“Dua penumpang SQ211 berkenaan telah divaksin sepenuhnya dan telah diasingkan di penginapan kesihatan khas.

“Semua orang dalam penerbangan itu dianggap kontak rapat dua penumpang tersebut dan perlu menjalani ujian segera untuk Covid-19 dan mengasingkan diri selama 14 hari, tanpa mengira status vaksinasi mereka,” jelas NSW Health.

Tambah NSW Health, kesemua  penumpang dan kru penerbangan terbabit akan dihubungi untuk memberitahu mereka tentang keperluan pengasingan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan kepada CNA, SIA berkata, juruterbang dan anak kapal yang mengendalikan penerbangan itu dikuarantrin dan akan menjalani ujian untuk Covid-19.

“SIA tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat tentang penumpang terbabit atas kerahsiaan pelanggan, dan akan membantu pihak berkuasa kesihatan dalam ‘semua usaha pengesanan kenalan atau kontak rapat kes’ yang diperlukan.

“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa, dengan berpandukan kepada keperluan kawal selia yang berkaitan bagiu memastikan kesihatan dan keselamatan pelanggan dan kakitangan kami,” ujar kenyataan SIA. – HARAKAHDAILY 30/11/2021

- Advertisement -