DHPP tertarik isi khutbah dedah penipuan dalam talian

Balasubramaniam A/L Nachiappan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) memandang serius isu penipuan dalam talian yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

Sehubungan itu, Ketua DHPP Pusat, Senator Balasubramaniam a/l Nachiappan turut memberi respons kepada khutbah Jumaat yang bertajuk Dunia Fatamorgana telah disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kandungan khutbah itu telah menyebut bahawa kerana cintakan dunia secara berlebihan, manusia rakus mengejarnya tanpa menghiraukan halal, haram termasuklah melakukan penipuan.

“Hari Jumaat lalu, saya dimaklumkan bahawa perkara ini telah mendapat perhatian daripada khatib yang bertugas untuk menyampaikan khutbah Jumaat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

- Advertisement -

Katanya, khatib telah menyentuh bahawa mutakhir ini, terlalu banyak berita tentang jenayah penipuan dalam talian terutamanya di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApp, Telegram, WeChat dan sebagainya.

Tambah beliau, terlalu ramai yang telah menjadi mangsa penipuan dalam talian dan ia telah melibatkan banyak kerugian malahan juga menyebabkan masalah sampingan seperti masalah mental dan tekanan perasaan.

Katanya lagi, khatib juga berpesan supaya janganlah terlibat melakukan jenayah tersebut atau membantu jenayah dalam talian seperti menjadi keldai akaun dan jadilah rakyat yang bertanggungjawab membantu pihak berkuasa membanteras jenayah siber demi keselamatan bersama.

“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada JAKIM kerana prihatin terhadap perkara ini kerana ianya selari dengan apa yang saya perjuangkan.

Justeru, katanya perkara itu akan dibawa ke dalam sidang Dewan Negara dalam masa terdekat.

“Saya memandang serius terhadap perkara ini dan seperti yang telah saya nyatakan minggu lalu, ia akan dibawa ke dalam sidang Dewan Negara dalam masa terdekat ini. Semenangnya isu ini adalah pada tahap yang serius,” katanya lagi.

Menurutnya, beliau telah membaca satu laporan berita yang disiarkan baru-baru ini yang menyebut bahawa sejumlah 67,552 kes penipuan (scam) membabitkan kerugian bernilai RM2.23 bilion dilaporkan sejak 2017 sehingga 20 Jun 2021 seperti mana yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Katanya, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, berdasarkan jumlah itu maka seorang warganegara ditipu bagi setiap 30 minit.

Tambahnya, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia juga menjelaskan bahawa modus operandi penipuan itu melibatkan penyamaran daripada pihak bank, pihak berkuasa, perniagaan e-dagang atau pelaburan.

Kata beliau, isu scammer masih berterusan berlaku.

Kelmarin, ujarnya dilaporkan bahawa seorang ibu tunggal di Jempol telah kerugian RM17,800 akibat diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.

Menurutnya, mangsa berusia 28 tahun itu diperdaya ahli sindiket terbabit selepas melihat satu iklan pinjaman wang di Facebook pada Khamis lalu.

Minggu lalu, beliau telah membuat satu kenyataan media bertajuk Kes Penipuan Dalam Talian Perlu Diberi Perhatian Serius dalam telahpun disiarkan di dalam Facebook dan akhbar Harakah.

“Saya juga mengharap agar semua pihak dapat menggunakan platform masing-masing untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat Malaysia supaya terus berhati-hati terhadap isu ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/11/2021

- Advertisement -