Bumiputera paling ramai miskin tegar

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kemiskinan tegar di kalangan rakyat Malaysia meliputi semua kaum, termasuk kaum Cina dan India, namun golongan paling ramai dalam kelompok ini ialah Bumiputera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed, berkata golongan miskin tegar di kalangan kaum Cina adalah sebanyak 7,689 keluarga dan India sebanyak 11,290 keluarga.

- Advertisement -

Katanya, miskin tegar adalah isi rumah yang berpendapatan RM1,169 sebulan dan ke bawah, berdasarkan kepada kos pembelian makanan asas, bagi isi rumah dengan 4 ahli keluarga.

Mengikut laporan media sebelum ini, setakat 22 Oktober lalu, terdapat 244,037 keluarga miskin tegar di negara ini.

“Kemiskinan tegar adalah isu yang meliputi semua kaum dan juga lokaliti. Kemiskinan berlaku di bandar dan juga luar bandar.

“Sebagai contoh di daerah Muallim (Perak), terdapat 209 keluarga di bandar yang miskin tegar dan 809 keluarga di luar bandar,” katanya menjawab soalan tambahan Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) di sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan asal Tanjong Malim, Mustapa berkata, Perdana Menteri dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 pada 27 September 2021, mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan program pembasmian kemiskinan menggunakan pendekatan keseluruhan negara.

Katanya, pendekatan baharu itu melibatkan penyertaan menyeluruh Kerajaan Persekutuan dan negeri, sektor swasta, universiti, syarikat berkaitan kerajaan serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO).

“Di bawah RMK-12, strategi menyeluruh meliputi projek dan program ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan kesihatan akan dilaksanakan bagi menghapuskan kemiskinan tegar pada tahun 2025.

“Pembasmian kemiskinan tegar akan dilaksanakan tanpa mengira jantina, etnik, status sosioekonomi dan lokasi, sama ada bandar atau luar bandar,” katanya.

Untuk menjamin pelaksanaan lebih berfokus, katanya Unit Kemiskinan yang khusus dicadangkan ditubuhkan di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah.

Mustapa berkata, Unit Kemiskinan telah ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 8 November lalu, manakala beberapa negeri telah mengambil inisiatif menubuhkan Unit Kemiskinan di peringkat negeri dan daerah.

Bagi melaksanakan program ini, katanya pangkalan data kemiskinan yang bersepadu dan berpusat, iaitu eKasih akan digunakan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di JPM sedang membuat pemutihan data ini.

Katanya, usaha pembasmian kemiskinan tegar akan diterajui bersama oleh EPU dan ICU, JPM serta dilaksana secara berfasa dengan cadangan jadual pelaksanaan fasa pertama bermula pada pertengahan Disember ini dengan senarai kira-kira 50 lokaliti di seluruh negara akan dikenal pasti oleh ICU.

“Pada akhir tahun ini, senarai lokaliti akan disahkan dengan kerjasama kerajaan negeri, diikuti pada Januari tahun hadapan, program dan strategi akan dirangka berdasarkan keperluan mengikut kesesuaian lokaliti masing-masing.

“Pada Februari tahun hadapan, pembentangan strategi dan program pembasmian kemiskinan tegar fasa pertama kepada Jemaah Menteri dan Mac pula, pelaksanaan program fasa pertama 50 lokaliti di seluruh negara akan bermula,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan pendekatan baharu ini akan dipantau setiap tiga bulan bagi memastikan intervensi yang berkesan jika pencapaian kurang memuaskan.

Selain 50 lokaliti terpilih ini, katanya program sedia ada bagi kelompok dan keluarga miskin lain di seluruh negara akan diteruskan dan melalui pendekatan secara keseluruhan negara dan holistik, kerajaan beriltizam agar miskin tegar dihapuskan pada tahun 2025 seperti yang disasarkan dalam RMK-12. – HARAKAHDAILY 30/11/21

- Advertisement -