Tingkatkan usaha menyedarkan golongan muda mengundi

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menyarankan kesedaran mengundi dimasukkan dalam silibus dalam program Kem Wawasan Negara bagi memastikan golongan muda mengundi dalam pilihan raya.

Katanya, kerajaan serius untuk melaksanakan Undi 18 Tahun, tetapi melihat situasi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, walaupun pengundi 18 tahun masih belum dimulakan, hanya 60 peratus sahaja yang mengundi.

- Advertisement -

“Kita tidak dapat bayangkan jika suatu hari nanti Undi 18 Tahun dilaksanakan, saya bimbang secara peribadi bahawa anak muda tidak ramai keluar mengundi.

“Akhirnya hak itu disia-siakan dan objektif kita untuk melaksanakan Undi 18 Tahun tidak berjaya juga akhirnya,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia meminta kerajaan supaya mengambil suatu sikap untuk memperhebatkan kursus atau kesedaran mengundi kepada anak muda.

Pada suatu peringkat, katanya kerajaan mungkin boleh mewajibkan rakyat untuk mengundi seperti langkah kerajaan mewajibkan rakyat untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

“Mungkin di sana ada beberapa prosedur yang boleh kita laksanakan supaya rakyat perlu keluar mengundi untuk mendapatkan kemudahan tertentu di mana mengundi adalah antara usaha rakyat ke arah menentukan pimpinan negara,” katanya.

Sementara itu, beliau ingin tahu setakat manakah penekanan kerajaan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lebih berkualiti kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

“Adakah peruntukan tertentu diberikan kepada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) kerana ada perbahasan yang saya dengar di Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengenai soal pengajian khusus TVET untuk OKU di IKBN,” katanya.

OKU jika diberi peluang, katanya akan lebih berjaya berbanding orang normal tanpa mengira apa bidang sekali pun yang diceburi.

Ahmad Fadhli juga mengucapkan tahniah kepada seorang remaja istimewa dari Kelantan, Asif Suhaimi yang memenangi Anugerah Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-34.

“Ini menunjukkan seorang remaja OKU apabila diberi peluang boleh memenangi anugerah dan ini berlaku akibat dibimbing oleh rakan sebayanya, Syahmi Sazli. Kalau diberikan peluang, saudara Syahmi perlu diberi Anugerah Tokoh Pembimbing Belia Negara kerana berjaya membimbing remaja OKU memenangi anugerah,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/21

- Advertisement -