Terengganu jayakan projek ternak rusa nukleus

- Advertisement -

INDUSTRI ternakan rusa semakin diminati. Walaupun diusahakan oleh rakyat kita secara kecil-kecilan, tapi bidang ini menjanjikan pulangan ekonomi yang agak lumayan.

Projek Penternakan Rusa Nukleus ini merupakan salah satu daripada program yang dirancang dalam Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023. Perasmian pada hari ini juga merupakan salah satu program yang telah dirancang dalam kalendar Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021.

- Advertisement -

Projek ini bermula pada tahun 2020 dengan peruntukan RM240,000 di mana dana ini digunakan untuk membangunkan kawasan berpagar seluas 20 ekar dan keluasan tersebut dibahagikan menjadi 4 paddock

Setiap paddock yang dibangunkan berkeluasan 5 ekar yang bertujuan untuk melakukan penggiliran paddock bagi sumber makanan hijau rusa. Dibangunkan juga tempat teduhan berserta tempat makanan dan sumber bekalan air di kawasan paddock.

Pada tahun 2021, projek ini diteruskan dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM485,000 merangkumi rumah gelap. Rumah gelap diperlukan untuk mengurangkan keaktifan rusa ketika proses rawatan atau pemindahan.

Untuk peringkat pertama, perolehan baka ternakan Rusa spesis Timorensis sebanyak 5 ekor jantan dan 50 ekor betina. Kos keseluruhan projek ini RM725,000. Rusa haiwan yang lasak, tahan penyakit, mudah dijaga dan bernilai tinggi.

Antara isu utama untuk mengembangkan penternakan rusa ialah terhadnya baka. Kerana itu Kerajaan Negeri merintis untuk mewujudkan Ladang Nukleus Ternakan Rusa di Kg Bari Setiu. Ladang Nukleus seluas 20 ekar ini akan menjadi pusat pembiak bakaan dengan objektif untuk dikembangkan kepada rakyat Negeri Terengganu.

Di sini pengeluaran baka ternakan rusa yang berkualiti dari ladang kerajaan akan diprogramkan untuk dipawah atau dibeli oleh penternak dalam Negeri Terengganu dengan program yang akan ditentukan kemudian.

Ladang ini juga dijadikan sebagai pusat rujukan dan latih amal untuk penternak melalui program latihan dan pengembangan yang disediakan bagi mewujudkan dan membangunkan kemahiran kepada penternak baru.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa
Terengganu – HARAKAHDAILY 29/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/401974207961520/posts/441617580663849

- Advertisement -