Permata perjuangan jangan dilupakan

- Advertisement -

KEPIMPINAN adalah amanah. Ia mesti menjadi agenda jemaah bukan peribadi. Ia kesinambungan dan mata rantai yang tiada kesudahan hingga dipersembahkan untuk pengadilan tuhan. Pandangan orang lain perlu dicari, pengalaman lalu perlu digali.

- Advertisement -

Atas keinsafan tersebut, YB Razman Zakaria yang dilantik meneruskan kepemimpinan sebagai Pesuruhjaya PAS Perak turun mendapatkan pandangan dan pengalaman pemimpin lalu. Kepercayaan Tuan Guru Presiden terhadap beliau dimulakan dengan ziarah ‘otai otai’ PAS Perak. Ia sebagai langkah membina struktur kukuh kepimpinan PAS Perak khasnya menghadapi PRU15. 

Antara ‘otai’ PAS Perak yang banyak jasa dan masih istiqamah dalam keuzurannya adalah Ustaz Azizan Desa. Beliau adalah Pesuruhjaya PAS Perak era 90-an. Dengan ilmu dan pengalaman panjang menelusuri perjuangan sebagai pemimpin PAS Perak, pastinya garapan pengalaman beliau sangat penting. Seorang yang melalui pelbagai peringkat pasang surut PAS, pastinya memiliki kemahiran mengenal watak dan method yang diperlukan PAS Perak.

Ust Sidik Nor juga nama yang sangat dikenali. Pernah memimpin pemuda PAS Perak dan merengkok dalam tahanan ISA adalah pengalaman berharga beliau. Jawatan terakhirnya adalah Ketua Dewan Ulamak Perak sebelum menumpukan perhatian kepada pondok dan tarbiah amilin di medan dakwah. Keuzuran beliau bukan penghalang menumpahkan pengalaman untuk panduan Pak Teh Razman. 

Cikgu Noh Ahmad juga seorang aktivis dan pernah menjadi Ketua Pemuda PAS Perak. Beliau juga sangat sinonim dengan pendidikan dan pernah menjadi Pengarah PASTI Pusat. Pengalaman berharga beliau dimanafaatkan oleh Pak Teh dengan melantik beliau sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak sebelum ini. Beliau diuji dengan kesihatan yang kurang baik hingga terpaksa meninggalkan kepimpinan PAS Perak. Pengalaman beliau selalu menjadi perhatian Pak Teh. 

Ziarah mahabbah ketiga-tiga tokoh ini adalah langkah awal Pak Teh Razman dalam usaha mendapatkan pandangan dan panduan membina jentera perang PAS Perak. Perak yang memiliki hanya tiga kerusi DUN sangat memerlukan pacuan luar biasa dalam perang PRU15 ini. Kesatuan fikrah dan amal sangat diperlukan agar sederap selangkah menggerunkan musuh. Tahniah Pak Teh YB Razman. Semoga PAS Perak terus gemilang dan cemerlang.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 29/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000122032873/posts/7267271256620203/

- Advertisement -