Perlu alternatif bergantung bahan mentah luar negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengenal pasti alternatif daripada bergantung bahan mentah dari luar negara dengan memanfaatkan semaksimum mungkin potensi yang ada.

Pakar ekonomi dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, menghasilkan bahan mentah dalam negara dapat mengurangkan kebergantungan import dari luar negara.

Ini kerana katanya semakin tinggi kebergantungan bahan mentah dan pasaran luar negara, risiko negara berhadapan dengan krisis sekuriti atau keselamatan makanan pada masa akan datang.

- Advertisement -

Malah kata beliau kajian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna jelas menunjukkan kebergantungan bahan mentah dan pasaran luar negara memberi kesan kepada kenaikan harga barang.

“Selain itu faktor cuaca antara penyebab berlaku kenaikan harga barangan di samping lebihan permintaan daripada penawaran dan kenaikan kos pengangkutan.

“Ia secara tidak langsung memberi kesan kepada kenaikan harga barang dan perkara itu perlu diberi perhatian supaya dapat dielak daripada berlaku krisis sekuriti makanan,” katanya di sini.

Menurutnya kenaikan harga barang memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama peniaga dan golongan B40.

Lagi pun katanya kenaikan harga barang membebankan rakyat ketika mereka sedang dalam proses pemulihan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Begitu juga Indeks Harga Pengguna Malaysia menunjukkan purata peningkatan tahunan 2.9 peratus dengan 123.7 pada Oktober 2021 berbanding 120.2 Oktober tahun lalu,” katanya.

Dr Anuar Shah juga berkata, situasi semakin membebankan apabila berlaku kenaikan harga ayam dan telur yang memberi tekanan kepada pengguna.

Oleh itu katanya pemantauan harga perlu dilaksanakan kerajaan secara lebih meluas dan perlu dilaksanakan 24 jam sehingga Disember ini.

Katanya langkah itu penting supaya harga barang dapat dikawal dan mengelak daripada wujud manipulasi harga. – HARAKAHDAILY 29/11/2021

- Advertisement -