NESTI, HyPER buka peluang besar pulih ekonomi negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Energy Storage Technology Initiative (NESTI) dan Hydrogen Paired Electric Race Car (HyPER) dijangka bakal membuka peluang besar dalam memulihkan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, kedua-dua inisiatif NESTI dan HyPER tersebut dibangunkan oleh NanoMalaysia Berhad, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran NESTI  dan demonstrasi HyPER, di sini, yang telah disempurnakan oleh Menteri MOSTI, Dato’ Seri Dr. Adham Baba.

Menurutnya, NESTI melibatkan inisiatif teknologi penyimpanan tenaga yang memfokuskan pembangunan teknologi dan pengkomersilan komponen teras peranti penyimpanan tenaga seperti elektrod, elektrolit dan reka bentuk struktur keseluruhan. 

“Dengan adanya permintaan tinggi terhadap sistem penyimpanan bekalan tenaga mampan, NESTI dapat menggalakkan transformasi penggunaan mobiliti elektrik yang lebih meluas oleh pelbagai jenis sektor dalam negara. 

“NESTI memberi impak positif kepada banyak industri seperti automotif, pengangkutan, ekonomi digital, bandar pintar dan tenaga boleh diperbaharui,” jelas beliau.

Ahmad Amzad menegaskan bahawa pelancaran NESTI dan HyPER membuktikan komitmen MOSTI bukan hanya untuk mencapai aspirasi negara berteknologi tinggi, malah turut memberi sokongan kepada Pelan Pembangunan Mobiliti Karbon Rendah 2021 – 2030.

“Saya yakin sektor ini memberi peluang yang besar dalam membantu memulihkan ekonomi Malaysia pascapandemik,” katanya. 

Sehubungan itu, tetamu pada majlis tersebut turut diperkenalkan kepada pembangunan kereta lumba elektrik berkuasa hidrogen atau lebih dikenali sebagai Hydrogen Paired Electric Race Car (HyPER) yang dijana oleh Sistem Penyimpanan Tenaga Hidrogen dan Hibrid NanoMalaysia (H2SS).

H2SS terdiri daripada tiga subsistem penyimpanan tenaga utama yang dilengkapi dengan sistem penjanaan hidrogen iaitu Bateri Lithium-ion (LiB), Kapasitor Ultra Graphene (Graphene Ultracapacitor) (GUC) dan  Sel Bahan Api Hidrogen (Hydrogen Fuel Cell) dengan penjanaan hidrogen atas permintaan melalui Sistem Reaktor Hidrogen Mudah Alih.

Konfigurasi H2SS yang digunakan dalam HyPER memanfaatkan berbilang sistem penyimpanan tenaga  terdiri daripada LiB (Lithium-Ion Battery) yang menyediakan ketumpatan tenaga untuk kebanyakan kuasa yang diperlukan oleh kenderaan elektrik; GUC (Graphene Ultracapacitor) pula menyediakan ketumpatan kuasa untuk pengecasan dan nyahcas pantas bagi permintaan tenaga berubah-ubah dalam keadaan yang pantas; dan HFC membekalkan tenaga untuk mengecas LiB yang serentak digunakan untuk menggerakkan motor atau sebagai penambah jarak dan masa operasi kenderaan.

“Saya yakin sektor ini memberi peluang yang besar dalam membantu memulihkan ekonomi Malaysia pascapandemik,” katanya.  – HARAKAHDAILY 29/11/2021

- Advertisement -