Makanan di gerai tetap berkualiti, kebersihan pula macam mana?

Gambar hiasan
- Advertisement -

oleh Dr Nur Dalilah Binti Mohd Zin dan Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain

Negara kita kaya dengan pelbagai aneka jenis makanan yang dijual, sehingga ada yang memberi jolokan “Malaysia syurga makanan”. Makanan ini boleh didapati di pelbagai tempat dan premis makanan, bermula dari setinggi-tinggi harga makanan di restoran mewah sehingga ke serendah-rendah harga di gerai tepi jalan. Pembandaran yang pesat menjadikan kemunculan ramai peniaga makanan berbanding peniagaan yang lain kerana mereka berpandangan prospek ini lebih cerah dan mudah mendapatkan keuntungan.

Ditambah pula dengan keadaan inflasi yang kian terasa akibat dari pandemik COVID-19 dan peningkatan harga barang-barang runcit, maka lebih ramai akan cuba mengamalkan langkah berjimat-cermat. Justeru, perniagaan makanan di gerai tepi jalan sudah pasti mampu menarik ramai pelanggan kerana makanan yang ditawarkan pada harga yang murah dan berpatutan disamping mempunyai rasa yang sedap dan memenuhi selera pelanggan.

- Advertisement -

Kebanyakkan makanan yang dijual di gerai tepi jalan adalah berkonsepkan makanan yang telah dimasak siap untuk dimakan. Ini telah menarik ramai pelanggan terutamanya bagi penduduk di bandar, di kota atau kawasan yang berdekatan dengan kawasan tumpuan pejabat-pejabat atau kilang-kilang. Menurut satu kajian yang dijalankan di negara kita pada tahun 2010, terdapat peningkatan perbelanjaan isi rumah terhadap perbelanjaan makanan daripada 8.8% pada tahun 1973 kepada 10.5% pada tahun 2004.

Peningkatan ini seiring dengan perkembangan pesat di bandar seluruh negara. Selain daripada memudahkan penghuni bandar mendapatkan makanan yang murah, gerai-gerai di tepi jalan juga menyumbang kepada peningkatan ekonomi dan pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah dan pertengahan. Tambahan lagi, makanan yang dijual di gerai-gerai di tepi jalan juga mempunyai kandungan nutrisi setara dengan makanan yang dijual di restoran.

Bagi mengimbangi permintaan yang tinggi dari pelanggan terhadap makanan yang dijual di gerai-gerai tepi jalan, satu perkara yang perlu dititik beratkan adalah kebersihan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, terdapat hampir 600 juta kes berkaitan bawaan makanan setahun dan telah menyebabkan hampir 420 ribu kematian secara global. Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan statistik bahawa terdapat peningkatan 11.8% kes penyakit berkaitan bawaan makanan pada tahun 2019 berbanding tahun 2015.

Penyebab utama adalah keracunan makanan yang menyumbang kepada 16,583 kes berbanding punca lain. Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan keracunan makanan antaranya ialah kebersihan pengendali makanan dan keselamatan serta kebersihan tempat yang berkaitan dengan penyediaan makanan. Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2007 telah melaporkan, lebih 50% kes keracunan makanan disebabkan oleh perlanggaran ketika proses penyediaan makanan.

Umum mengetahui bahawa gerai makanan di tepi jalan boleh mengundang pelbagai penyakit yang berkaitan dengan makanan. Terdapat pelbagai faktor yang mengundang kepada hal ini, antaranya adalah, peraturan kawalan keselamatan makanan bagi gerai dilihat tidak begitu dititikberatkan oleh pihak berwajib. Negara kita mempunyai Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009. Namun, akta dan peraturan ini dilihat lebih diguna pakai ketika membuat penguatkuasaan bagi premis-premis makanan yang bertanah atau tetap (landed premis).

Hal ini disebabkan oleh sikap peniaga gerai di tepi jalan yang sentiasa berpindah-randah menyebabkan aktiviti penguatkuasaan sukar dijalankan. Keadaan ini menjadi lebih kompleks apabila terdapat segelintir peniaga gerai di tepi jalan yang beroperasi secara haram. Sudah tentu mereka akan sentiasa berpindah randah bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa apabila gagal memenuhi syarat yang ditetapkan.

Selain daripada itu, beberapa kajian yang lalu juga menunjukkan kebanyakan gerai makanan di tepi jalan adalah diusahakan oleh mereka yang berasal daripada golongan yang berpendapatan rendah. Hal ini kerana, bagi mengusahakan gerai tersebut tidak memerlukan modal yang tinggi. Selain daripada itu, pengusaha gerai makanan ini juga kebanyakannya tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi. Justeru, mereka mungkin tidak melihat kepada kepentingan menjaga kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual, tetapi lebih menitikberatkan keuntungan bagi hasil jualan mereka.

Lebih memburukkan keadaan, apabila terdapat peniaga yang tidak pernah mengikuti kursus pengendalian makanan atau hanya mengikuti sekali sebagai syarat operasi dan tidak pernah memperbaharui latihan mereka. Perkara ini telah menyumbang kepada kurangnya pengetahuan mereka berkenaan dengan penyediaan dan pengendalian makanan yang bersih dan selamat. Maka, tidak hairanlah apabila kita masih melihat terdapat pekerja di gerai tepi jalan tidak dapat mematuhi kebersihan dari sudut pakaian, amalan pengendali makanan dan juga pengurusan kebersihan presmis secara keseluruhan. Mereka seolah-olah tidak mengambil kisah imej dan kebersihan gerai.

Komponen paling kritikal yang perlu diberi perhatian oleh setiap premis makanan termasuk pengusaha gerai makanan di tepi jalan adalan bekalan air bersih yang cukup. Bekalan air bersih adalah perlu untuk memastikan kebersihan tangan, diri, alatan memasak dan pinggan mangkuk, dan juga menjamin kebersihan kedai itu sendiri. Bagi gerai di tepi jalan, bekalan air bersih yang cukup merupakan cabaran yang besar kerana kebanyakan tapak gerai ini tidak ada kemudahan asas sumber air. Dlam situasi ini, pilihan yang ada adalah menghadkan penggunaan air. Oleh itu, pengendali makanan yang menjual di gerai tepi jalan yang tiada sumber air yang tetap, wajar mengelakkan dari menjual makanan yang dimasak di kedai tersebut atau menghidang makanan untuk dimakan di situ. Kaedah yang paling selamat adalah hanya menjual makanan yang siap dibungkus.

Satu lagi aspek yang wajar dititik beratkan dalah memastikan makanan yang dijual ditutup dengan baik agar terlindung dari pencemaran dan juga lalat. Gerai-gerai di tepi jalan sudah pasti akan terdedah kepada pencemaran habuk terutamanya dari kenderaan. Jika gerai berada berdekatan dengan longkang atau tong sampah, maka akan timbul risiko didatangi lalat. Maka, pelanggan dinasihatkan untuk menilai sejauh mana amalan kebersihan ini diamalkan sebelum membeli makanan yang dijual.

Kesimpulannya, gerai-gerai di tepi jalan mampu menjana ekonomi penduduk setempat selain dari menjual makanan yang murah dan menepati selera ramai. Namun, aspek keselamatan makanan dan kebersihan diri pengendali makanan dan juga kebersihan gerai adalah penting untuk diberi perhatian oleh pengguna dan pemilik gerai. Pemilik gerai sebaiknya mengutamakan kebersihan diri dan sentiasa memastikan makanan tidak terdedah kepada risiko jangkitan kuman. Pengguna juga dinasihatkan untuk meletakkan kebersihan sebagai kriteria utama sebelum membeli di mana-mana premis makanan. Peranan pihak penguasa juga amat penting bagi memantau setiap premis yang menjual makanan adalah dalam keadaan bersih dan mengikuti keperluan, syarat, dan undang-undang yang ditetapkan.

Bagi memacukan lagi sektor ini, pihak berkuasa tempatan mungkin boleh menggerakkan projek perintis ‘gerai makan contoh’ bagi memberi imej yang positif dan memperbetulkan mentaliti pengusaha makanan di gerai tepi jalan ke arah menyediakan makanan yang bersih, sihat dan selamat. Jika dapat ditambah elemen pengurusan sisa buangan atau sampah dengan kaedah yang baik, maka projek perintis ini pasti dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan juga penggalak kepada industri pelancongan negara.
Wallahu a’lam.

Dr Nur Dalilah Mohd Zin adalah pemegang Sarjana Kesihatan Awam di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain (MD, MCM, PhD) adalah Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM).

- Advertisement -