Kerajaan galak waktu kerja fleksibel untuk wanita

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan waktu kerja yang fleksibel di sektor awam atau swasta, terutama sejak penularan pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata galakan ini turut merangkumi golongan pekerja wanita.

Advertisement

Katanya, waktu kerja fleksibel membolehkan pekerja melaksanakan tugas mengikut waktu, hari atau tempat pekerjaan yang sesuai, tertakluk kepada persetujuan majikan.

“Ketika ini, tiada dasar dan perundangan buruh yang spesifik untuk menetapkan waktu bekerja fleksibel bagi golongan wanita,” katanya menjawab soalan lisan June Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) di Dewan Rakyat, hari ini.

June Leow meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan usaha untuk menggalakkan waktu bekerja fleksibel bagi golongan wanita di sektor awam dan swasta sebagaimana amalan di negara maju lain.

Awang berkata, kerajaan amat prihatin terhadap keperluan golongan wanita dalam pengaturan waktu bekerja fleksibel yang dilihat dapat meningkatkan keharmonian dan kesejahteraan dalam pekerjaan.

Oleh itu, katanya kementerian telah memasukkan peruntukan baharu berhubung waktu kerja fleksibel serta cadangan pengurangan waktu kerja mingguan dalam pindaan Rang Undang-Undang Kerja (Akta Kerja 1955) yang akan dibaca buat kali kedua di Parlimen akhir tahun ini. – HARAKAHDAILY 29/11/21