Isu judi: 20 NGO Islam sokong penuh pengumuman MB

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menzahirkan sokongan penuh akan pengumuman Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak lagi mengeluar serta memperbaharui lesen premis judi di Kedah.

Memorandum sokongan kepada tindakan itu diserahkan kepada Ketua Pegawai Khas Menteri Besar, Zulkifli Yahaya di Wisma Darul Aman, semalam.

Advertisement

Beliau ketika dihubungi Harakahdaily berkata, himpunan aman menyokong keputusan yang diadakan di hadapan Wisma Darul Aman dihadiri sembilan pemimpin utama NGO mewakili keseluruhan 20 NGO Islam terbabit.

“Antaranya, Skuad Badar, Skuad Kubra, Pertubuhan Kebajikan Al-Amin, Pertubuhan Sirah Malaysia, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Pertubuhan Penggerak Dakwah dan Ekonomi & Kebajikan Amal Malaysia (PENDEKA),” jelasnya.

Selain itu tambahnya ia juga melibatkan Pertubuhan Warisan Pendekar Negeri Kedah, Pertubuhan Amal Kebajikan Muafakat Jaya Malaysia (PAMJ) dan Pertubuhan Kebajikan Gagasan Jemaah Islamiah Malaysia. 

Menurutnya lagi, memorandum berkenaan juga turut menyenaraikan kesan-kesan negatif akibat budaya berjudi.

Mereka juga menyatakan kesanggupan untuk membantu kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberi pandangan menyelesaikan masalah yang timbul akibat tindakan berkenaan.

Sanusi pada 14 November lalu telah mengumumkan keputusan berkenaan dan komited meneruskannya walaupun mendapat bantahan daripada pihak tertentu.

Malah, 21 November lalu DAP melalui pengamal undang-undang, Ramkarpal Singh dan empat individu lain mencabar tindakan itu dan akan membawanya ke mahkamah.

Keputusan tidak mengeluar serta memperbaharui lesen premis judi itu kata mereka tidak munasabah dan boleh dibatalkan oleh mahkamah tinggi. – HARAKAHDAILY 29/11/2021