Individu tiada vaksin 17.9 kali ganda maut akibat Covid-19

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato' Dr Noor Azmi Ghazali
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Risiko kematian Covid-19 di kalangan individu yang tiada vaksinasi atau tiada vaksinasi lengkap adalah 17.9 kali ganda lebih tinggi, berbanding mereka yang menerima vaksin lengkap.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata sebanyak 29,809 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan bagi tempoh antara 1 Januari lalu hingga 27 November lalu.

- Advertisement -

Daripada jumlah itu, katanya hanya 3,994 kes (13.4 peratus) telah mendapat vaksinasi lengkap, berbanding 5,817 kes (19.5 peratus) mendapat satu dos vaksin atau dua dos, tetapi tidak melebihi 14 hari dari tarikh dos kedua dan 19,998 kes (67.1 peratus) tidak divaksinasi.

“Antara faktor penyumbang kematian adalah keadaan pesakit yang berisiko tinggi kepada jangkitan, iaitu mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, sakit jantung, kencing manis dan penyakit berkaitan paru-paru.

“Berdasarkan data kematian ini, sebanyak 23,621 atau 79.24 peratus kematian mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor komorbiditi dan kebanyakannya adalah daripada kalangan yang tidak menerima vaksin iaitu 15,501 pesakit (52 peratus),” katanya menjawab soalan lisan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, peratusan kematian yang tinggi juga dilihat di kalangan pesakit yang berumur antara 60 hingga 69 tahun sebanyak 7,015 kes (23.5 peratus), 50 hingga 59 tahun sebanyak 5,794 kes (19.4 peratus) dan berumur antara 70 hingga 79 tahun sebanyak 5,626 kes (18.9 peratus).

Sementara itu sejak dimulakan pada 13 Oktober lalu hingga 27 November lalu, katanya seramai 2,194,849 orang telah menerima dos penggalak atau 9.4 peratus daripada 23.4 juta populasi dewasa di Malaysia.

Menurutnya, tujuan pemberian dos penggalak adalah untuk memastikan imuniti yang diperolehi selepas menerima dos lengkap dapat dikekalkan untuk tempoh yang optimum, terutama terhadap jangkitan varian Delta.

“Inisiatif ini dilaksanakan untuk mengelakkan peningkatan semula kes Covid-19 di negara ini, terutama di kalangan kumpulan berisiko tinggi termasuk petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan, warga emas berusia 60 tahun dan individu dengan komorbid,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie, beliau melahirkan kebimbangan terhadap sebahagian rakyat Malaysia yang semakin leka terhadap bahaya jangkitan Covid-19.

“Ada yang berasa bahawa keadaan jangkitan Covid-19 sudah okey kerana hampir 80 peratus penduduk sudah mendapat vaksin lengkap dua dos.

“Bagaimanapun, perkembangan terkini menunjukkan wujud varian baharu virus Covid-19, iaitu Omicron yang ditemui di Afrika Selatan dan Hong Kong, yang tidak jauh dari negara ini,” katanya.

Beliau berkata, negara bertindak pantas dengan melarang mereka yang datang dari negara tertentu memasuki Malaysia dan berasakan penting rakyat mengambil dos penggalak kerana Omicron mempunyai 22 mutasi protin berbanding varian Delta hanya sembilan mutasi.

“Kita juga tidak tahu seteruk mana virus baharu ini dan sama ada rejim ubat sedia ada dapat merawatnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/21

- Advertisement -