Almarhum Jamal Janggut dikenang, gigih edar Harakah

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH:
Almarhum Jamaluddin Zainal, 57, akan sentiasa dikenang kerana kegigihannya mengedar Harakah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, kata Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman.

“Kita tahu, mengedar Harakah ini bukan dapat untung banyak. Beliau hantar (Harakah) ke setiap rumah setiap pelanggan yang beli daripada dia. Kalau nak kira kos petrol memang tak lepas.

- Advertisement -
Almarhum Jamaluddin

“Tapi dia gigih mempromosi Harakah, cari lebih ramai pelanggan. Walaupun lebih ramai pelanggan bermakna lebih banyak kerja dia dan habiskan masa dia, tetapi dia gigih demi perjuangan,” ujar beliau.

Menurutnya, ketika mula uzur almarhum tetap mengedarkan Harakah dalam keadaan yang sukar.

“Bila sudah tak larat sangat dia suruh anak dia tolong hantarkan pada pelanggan. Tapi sampai satu peringkat keadaan jadi sangat sukar sehingga almarhum beberapa kali masuk wad dan terlantar akhirnya kita rehatkan Almarhum (daripada mengedar Harakah). Itu yang paling saya kenang.

“Dan almarhum memang seorang yang sangat komited dalam tugasan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Masjid Tanah sekian lama. Dan kerap kali berada dalam Lajnah Penerangan,” katanya lagi.

Ustaz Imran Abdul Rahman

Ustaz Imran berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily seusai upacara solat jenazah Almarhum Jamaluddin di Masjid Kampung Tengah selepas solat Maghrib malam tadi.

Antara pemimpin PAS kawasan yang turut hadir menunaikan solat jenazah itu ialah naib yang dipertua, Ustaz Azmi Sambul, Jamarudin Ahmad (setiausaha), Abu Hashim Abdul Samad (bendahari), dan Abu Naufal Samsudin (ketua pemuda).

Almarhum Jamaluddin yang lebih mesra dengan panggilan ‘Jamal Janggut’ itu dipercayai meninggal dunia semasa dalam tidur sebelum disedari oleh ahli keluarga pada jam 5.00 pagi Ahad ketika ingin mengejutkannya untuk persediaan solat Subuh.

Menurut isteri almarhum, Siti Hajar Abu Hassan, 55, almarhum mengadu sakit belakang dan sesak nafas pada malam sebelumnya.

“Dia mengadu sakit belakang. Kita pun tengok keadaan dia lemah. Masa tu pun saya ajar dia mengucap (dua kalimah syahadah) dan alhamdulillah dia dapat mengucap beberapa kali sebelum tidur.

“Memang dalam seminggu ni keadaan dia lemah. Nak bergerak pun susah. Ambil wuduk untuk solat pun guna ‘spray’ air, nak bergerak ke bilik air susah,” ujar beliau.

Tambah Siti Hajar, doktor mengesahkan punca kematian almarhum adalah akibat komplikasi penyakit jantung dan darah tinggi yang dihidapi sekian lama.

Almarhum yang semasa sihat dahulu merupakan pengusaha van sekolah membawa pelajar-pelajar PASTI meninggalkan seorang balu dan lapan orang anak dengan dua daripadanya masih lagi menuntut di sekolah menengah dan institut pengajian tinggi. – HARAKAHDAILY 29/11/2021

- Advertisement -