540 ahli PPK Kelantan miliki PELADANG-i

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH: Seramai 540 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini memiliki Kad Pintar Keluarga Peladang (PELADANG-i) yang mempunyai gabungan ciri-ciri tiga dalam satu menerusi kad debit Co-Brand Agrobank yang berfungsi membangunkan penggunaan digital dalam sektor pertanian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kempen menambah bilangan pemilikan kad itu perlu diperhebatkan oleh semua PPK dalam membangun dan memodenisasikan pengurusan pertanian di seluruh negara. 

- Advertisement -

Menurutnya, PELADANG-i juga dijadikan sebagai kad identiti keahlian yang berkonsepkan transaksi perbankan moden yang turut dilengkapi manfaat perlindungan Takaful sehingga RM5,000 hanya dengan bayaran RM5 setahun.

“Inisiatif PELADANG-i bakal meletakkan ahli-ahli peladang kepada sistem kehidupan yang lebih baik melalui konsep pembayaran tanpa tunai dan hanya berurusan secara dalam talian.

“Pelancaran pemilikan kad itu melibatkan empat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Kelantan iaitu seramai 130 ahli PPK Bukit Awang, 130 orang dari PPK Tiga Daerah di Pasir Puteh, 150 ahli PPK Machang dan 130 ahli PPK Tumpat. Ia perlu diperluaskan menerusi kempen dan penerangan kepada petani di peringkat akar umbi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPK Bukit Awang kali ke 43 di Desa Alam Shah, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Zambri Yaacob;  Pengurus Besar Pertubuhan Peladang  Negeri,  Fauziah Ismail; dan Pengurusi PPK Bukit Awang, Tengku Abdul Azis Tuan Deraman.

Nik Muhammad Zawawi berkata,  inisiatif tersebut juga selari dengan usaha kementerian dalam memperkasakan penggunaan teknologi digital dalam kalangan ahli peladang ke arah dunia digitalisasi seterusnya mencapai matlamat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menerajui pertanian dalam negara ke arah perkembangan Teknologi Revolusi Pertanian 4.0 (IR 4.0).

Tambahnya, manfaat Takaful Peladang menerusi PELADANG-i yang dilindungi di bawah program Takaful Kasih Plus ini terbuka kepada ahli peladang berumur 18 hingga 70 tahun seharusnya diambil peluang oleh peladang untuk menyertainya.

“Antara manfaat yang diperoleh adalah RM5,000 untuk kematian akibat kemalangan, atau hilang upaya kekal akibat kemalangan selain perbelanjaan perubatan akibat kemalangan (RM250) dan kematian semula jadi sebanyak RM500.

“Akses digital berkaitan pengurusan kewangan, keperluan input pertanian dan pelbagai kemudahan juga terkandung dalam kad pintar ini yang banyak memberi manfaat kepada peladang,” ujarnya.

Menurutnya lagi, PPK Bukit Awang yang telah berjaya mencapai keuntungan sebanyak RM136,037 untuk tahun 2020 selain berjaya melepasi kouta pemasaran cili kepada Syarikat Nestle Malaysia Berhad dengan kuantiti 240, 000 metrik tan, serta mencapai isipadu perniagaan sebanyak RM2.9 juta sehingga Oktober tahun ini, boleh menjadi penggerak dalam menjayakan pemilikan PELADANG-i kepada ahlinya seramai lebih 3,000 orang. – HARAKAHDAILY 29/11/2021

- Advertisement -