4.7 juta penduduk bekerja berkelulusan sijil hingga ijazah

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Seramai 4.7 juta atau 31.6 peratus daripada 14.2 juta penduduk bekerja di Malaysia mempunyai kelayakan peringkat sijil, diploma dan ijazah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata jumlah itu adalah berdasarkan Laporan Kaji Selidik Tenaga Buruh Malaysia Tahun 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

- Advertisement -

Daripada jumlah itu, katanya rakyat yang mempunyai kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Kemahiran adalah seramai 970,200 orang (6.5 peratus), diploma seramai 1.6 juta orang (10.9 peratus) dan Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah seramai 2.1 juta orang (14.2 peratus).

“Kerajaan berusaha dan komited untuk meningkatkan kemahiran dan pendapatan rakyat dengan menyediakan program latihan pekerjaan atau perantisan bagi peningkatan kemahiran, latihan semula dan silang kemahiran,” katanya di sesi pertanyaan jawapan lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dato’ Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah dan peratusan rakyat Malaysia yang bekerja di negara ini mempunyai sijil, diploma ke atas atau sekurang-kurangnya Sijil Kemahiran Malaysia.

Awang berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran menyediakan peluang latihan kemahiran kepada rakyat Malaysia melalui tiga kaedah, iaitu Sistem Latihan Program Bertauliah, Sistem Latihan Dual Nasional dan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu.

Selain itu, katanya KSM melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) melaksanakan inisiatif PENJANA HRDCorp, iaitu penempatan dan latihan, pembangunan B40, Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Revolusi Industri 4.0 dan Gerak Insan Gemilang (GIG).

Katanya, skim berkenaan dapat membantu rakyat Malaysia meningkatkan kemahiran dan mendapat penempatan pekerjaan, di samping menggalakkan rakyat bekerja sendiri.

“KSM juga memperkasakan ekosistem bakat melalui program di bawah TalentCorp yang berfokus kepada pembangunan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan bakat muda negara. Antara inisiatifnya ialah Platform Analitis Penilaian Psikometrik Bersepadu.

“Inisiatif lain ialah Program Latihan Industri Berstruktur, Pelajar Muda Bekerja, Kolaborasi Industri-Akademia dan Program Pengekalan Bakat Tajaan Kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/21

- Advertisement -