200,000 warga asing tidak bekerja akan selesai akhir tahun

Dato’ Seri Hamzah Zainudin
- Advertisement -

ISKANDAR PUTERI: Masalah lambakan kira-kira 200,000 warga asing tidak bekerja di negara ini yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan telah berbincang dengan beberapa syarikat yang menggajikan pekerja asing termasuk peladangan, untuk mengambil mereka bekerja semula.

- Advertisement -

“Keutamaan akan diberikan kepada warga asing yang telah berdaftar dan telah disenaraikan melalui program berkenaan, untuk mendapatkan pekerjaaan memandangkan mereka sudah ada di dalam negara ini.

“Sebab kalau warga asing yang baharu akan mengambil masa, yang ini mereka sudah terima vaksin cukup, boleh mula bekerja dalam masa dua minggu dari sekarang, kita akan selesaikan sebelum akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. – BERNAMA

- Advertisement -