Perang ekonomi terhadap Turki

SELEPAS kegagalan peristiwa rampasan kuasa pada tahun 2016, Turki telah melalui fasa perubahan yang agak ketara dari sudut politik dan ekonomi samada dalam mahupun luar negara.

Advertisement

Senario ini saya pernah bincangkan dalam artikel yang bertajuk “Turki Pasca Rampasan Kuasa: Apa Selepas ini?” yang diterbitkan pada bulan Jun 2016.

Dua tahun berikutnya iaitu pada 24 Jun 2018 telah berlangsung pilihan raya umum Turki yang menjadi kayu pengukur buat Recep Tayyib Edrogan dan partinya Adalet ve Kalkinma Partisi (AKP) serta gabungan parti politik People’s Alliance yang diterajuinya.

Recep Tayyip Edrogan telah memenangi pilihan raya Presiden Turki dengan memperolehi 52.9 peratus undi mengalahkan calon daripada parti Cumhuriyet Halk Partisi (CHP) Muharrem Ince daripada gabungan parti politik Nation Alliance yang memperolehi sebanyak 30.64 peratus undi.

Gabungan People Alliance memenangi sebanyak 344 kerusi parlimen mengalahkan seteru utamanya Nation Alliance yang memenangi 189 kerusi parlimen termasuk juga parti Halklarin Demokratrik Partisi (HDP) yang hanya memenangi sebanyak 67 kerusi parlimen.

Namun begitu, walaupun Recep Tayyip Edrogan dan gabungan parti politik People’s Alliance telah menang dengan agak selesa pada pilihan raya umum 2018, senario tersebut mula berubah apabila diadakan pilihan raya tempatan Turki yang berlangsung pada 31 Mac 2019.

Pilihan raya tempatan ini menyaksikan parti-parti pembangkang di Turki membentuk satu persefahaman untuk tidak bertanding sesama sendiri di banyak kawasan dalam usaha untuk mengalahkan gabungan parti politik People’s Alliance pimpinan Recep Tayyip Edrogan.

Keputusan pilihan raya tersebut menyaksikan gabungan parti politik People’s Alliance menghadapi penurunan peratusan sokongan undi sebanyak 7.44 peratus berbanding CHP yang merupakan parti utama dalam gabungan pembangkang yang mengalami kenaikan sokongan sebanyak 3.47 peratus walaupun HDP mengalami penurunan sokongan sebanyak 1.77 peratus.

Lebih memeritkan apabila dalam pilihan raya tempatan tersebut, parti AKP kalah dalam pemilihan Datuk Bandar di dua bandar utama Turki iaitu di Istanbul dan Ankara di mana calon-calon Datuk Bandar dari parti AKP tewas kepada calon-calon dari parti pembangkang utama CHP.

Tidak dinafikan kesemua senario di atas adalah sebahagian daripada usaha-usaha terselindung oleh pihak-pihak yang berkepentingan dalam usaha untuk menjatuhkan parti AKP terutamanya Edrogan sendiri setelah kegagalan rampasan kuasa terdahulu.

Namun berbeza pula senarionya dengan keadaan ekonomi Turki. Ketika seluruh dunia sedang berusaha untuk bangkit kembali daripada kegawatan akibat daripada penularan wabak pandemik Covid-19, Turki mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada suku pertama tahun ini iaitu yang kedua terbaik selepas China daripada keseluruhan anggota kumpulan negara G-20.

Turki mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.0 peratus pada suku pertama tahun ini dan sebanyak 1.7 peratus pada suku ke 4 tahun lalu.

Sektor perindustrian Turki mencatat pertumbuhan sebanyak 12.2 peratus pada suku pertama tahun ini manakala saiz ekonominya meningkat kepada USD 728.5 bilion daripada USD 717 bilion pada suku yang sama tahun lalu.

Ia adalah usaha berterusan Kerajaan Turki yang meningkatkan perbelanjaan, memotong kadar faedah serta memperbanyakkan kemudahan pinjaman terutamanya kepada sektor-sektor perindustrian dan berdaya maju untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi Turki ke arah yang lebih mampan.

Namun usaha ini nampaknya menghadapi kebuntuan apabila matawang Turki iaitu Lira menghadapi kejatuhan mendadak ketika ini.

Selasa lalu, matawang Lira mengalami kejatuhan sehingga 15 peratus, kejatuhan paling teruk dalam beberapa tahun ini disebabkan pengumuman Edrogan untuk meneruskan polisi ekonomi yang diamalkan ketika ini.

Agensi kewangan termasuk bank-bank utama dunia mengkritik polisi ekonomi Turki. Pemimpin pemimpin utama parti pembangkang Turki termasuk bekas Timbalan Gabenor Bank Pusat Turki Semih Tumen mengkritik tindakan Edrogan yang menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak masuk akal serta mengkhianati rakyat Turki.

Berbeza pula dengan Mufti Oman Syeikh Ahmed bin Hamad Al-Khalili, beliau menyifatkan tindakan Erdogan adalah terpuji kerana memerangi riba yang diharamkan oleh Allah SWT sebagaimana yang terkandung dalam kenyataannya baru-baru ini.

Malah Syeikh Ahmed bin Hamad Al Khalili menggesa negara-negara Dunia Islam agar mencontohi polisi Edrogan dengan memotong kadar faedah serta menyeru OIC agar mengadaptasi polisi ini dengan penuh tekad dan ketekunan untuk mencapai sasaran sebagai sistem kewangan Islam yang sebenar.

Selain daripada tekanan politik dan ekonomi yang dihadapi oleh Edrogan dan Kerajaan Turki pimpinannya, perkembangan sektor ketenteraan yang turut menjana serta mempelbagaikan sektor ekonomi Turki di samping memperkukuh dan memperluaskan pengaruh geopolitik Turki turut menjadi penyebab utama kepelbagaian tekanan yang dihadapi Turki ketika ini.

Kecanggihan teknologi ketenteraan dan persenjataan Turki seperti drone untuk peperangan atau combat drone seperti “Bayraktar Akinci UCAV” yang terbukti kecanggihan dan kejayaannya di medan perang di Azerbaijan, Syria dan Libya sehingga menjadi salah satu eksport ketenteraan utama Turki ke banyak negara turut menjadi penyebab utama tekanan ekonomi yang dihadapi ketika ini.

Jumlah eksport sektor persenjataan Turki yang meningkat dengan begitu mendadak turut membimbangkan musuh-musuh geopolitik Turki. Untuk tahun 2020, jumlah eksport sektor persenjataan Turki berjumlah USD 11 bilion berbanding hanya USD 1 bilion pada pada tahun 2002, naik lebih 10 kali gandi dalam tempoh 18 tahun.

Di samping menjana ekonomi Turki dengan mempelbagaikan sektor ekonomi, peningkatan eksport sektor persenjataan Turki juga dikhuatiri oleh musuh-musuh geopolitiknya kerana ia akan mampu memperluaskan lagi pengaruh geopolitik Turki di samping memperkukuhkan sektor ketenteraannya.

Maka disebabkan itu Kerajaan Kanada telah mengenakan larangan eksport teknologi terkini persenjataan untuk pembuatan drone ke Turki pada pertengahan tahun ini.

Larangan dan sekatan eksport sebegitu juga turut dikenakan oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah di mana ia bertujuan untuk menyekat perkembangan mahupun eksport sektor persenjataan Turki.

Larangan eksport teknologi terkini untuk sektor persenjataan serta ketenteraan yang dikenakan terhadap Turki sedikit sebanyak menjejaskan industri persenjataannya di mana kebergantungan Turki kepada teknologi terkini luar negara untuk sektor tersebut adalah sebanyak 35-40 peratus.

Edrogan dalam kenyataan terbaharunya menyatakan bahawa Turki akan mampu membangunkan sendiri kesemua peralatan dan teknologi persenjataan mahupun ketenteraan seawal tahun 2023.

Maka berdasarkan kesemua senario yang berlaku, bolehlah dikatakan bahawa Turki sedang mengalami pelbagai tekanan dari setiap sudut.

Edrogan dalam ucapannya pada 8 Julai tahun ini awal-awal lagi telah menyatakan bahawa apa yang berlaku kepada Turki hari ini iaitu kejatuhan matawang Lira dan ekonomi adalah sama motif serta sifatnya dengan tujuan rampasan kuasa yang gagal pada 2016 dahulu.

Dalam ucapan beliau juga, Edrogan turut memberi amaran terhadap permainan bahaya sebegitu rupa yang dilakukan terhadap Turki yang dibina atas tiga rangkaian iaitu tukaran mata wang, kadar faedah dan inflasi yang mana sasarannya adalah untuk meletakkan ekonomi Turki dalam keadaan gawat dan tidak stabil.

Semoga Turki dan rakyatnya mampu menghadapi kemelut dan kegawatan yang berlaku ketika ini serta bangkit menjadi lebih maju dan berjaya di masa hadapan.

Doa saya buat seluruh negara Dunia Islam dan umat Islam terutamanya yang berhadapan dengan cabaran getir ketika ini seperti Palestin, semoga Allah SWT melindungi dan merahmati serta diberikan kekuatan untuk bangkit kembali menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Moga Allah SWT merahmati dan memakbulkan doa kita semua insya-Allah.

Islam Menyatukan Ummah.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 28/11/2021