Keluarga Malaysia: Pendekatan lestari dakwah dalam negara

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Gagasan Keluarga Malaysia perlu disambut sebagai satu pendekatan dalam melestarikan dakwah dalam negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan beberapa pensyarah, telah diminta untuk merangka satu konsep pengisian yang perlu diisi dalam konteks Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera.

“Konsep pengisian yang telah siap dilancarkan Jumaat lalu, berkenaan konsep pengisian yang perlu kita isi dalam konteks Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera.

- Advertisement -

“Kita nak kita yang merupakan orang yang membuat pengisian untuk mengharapkan satu Keluarga Malaysia ini, yang kita impikan sebagai satu Keluarga Sejahtera,” katanya dalam pertemuan bersama pemimpin Majlis Amal Islami Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di sini hari ini.

Idris berkata nilai Keluarga Malaysia merupakan komponen penting dalam mendukung Wawasan Kemakmuran 2030, justeru kerajaan dan NGO Islam perlu bersepadu untuk mengekalkan serta memperkasakan permuafakatan dan keharmonian yang telah sekian lama menjadi amalan di negara ini.

“Dalam konteks negara kita, meskipun berbeza latar belakang dan budaya, NGO perlu meraikan keterangkuman, perbezaan serta menjunjung semangat Malaysia, sebagai sebuah negara majmuk dan aset yang perlu dipertahankan,” katanya.

Beliau berharap YADIM dan NGO Islam dapat menyambut dokumen Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera dan seterusnya menyemarakkan serta mengetengahkan semangat itu dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Yang Dipertua YADIM Nasrudin Hassan berkata pertemuan itu bertujuan menyatukan seluruh pimpinan dan membincangkan serta mencari persepakatan kepada gerak kerja bersama ke arah penyelesaian isu-isu berkaitan dengan ummah.

Beliau berkata antara cadangan yang diutarakan adalah saluran dakwah perlu diperluaskan dengan menggunakan media sosial, dan mempelbagaikan bahasa supaya penyampaian maklumat dan dakwah secara meluas kepada seluruh masyarakat.

“Dari sudut mempelbagaikan bahasa juga adalah perlu bukan setakat bahasa Inggeris. Kalau boleh Mandarin, Tamil dan juga bahasa-bahasa yang merangkumi dan mencakupi masyarakat majmuk di Malaysia, tanpa kita mengecilkan peranan bahasa Kebangsaan.

“Kami akan mengutamakan bahasa Kebangsaan namun untuk capaian di peringkat antarabangsa atau golongan minoriti, kita boleh jadikan ia satu usaha dakwah dengan mempelbagaikan penggunaan bahasa,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -