Varian Omicron: KKM pantau laporan WHO, negara lain

Foto daripada Facebook Khairy Jamaluddin.
- Advertisement -

KAPAR: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain berkaitan perkembangan Omicron, varian baharu Covid-19.

Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata pemantauan berterusan itu akan membantu KKM membuat keputusan bagi meluaskan sekatan pengembaraan terhadap mana-mana negara, sekiranya perlu.

- Advertisement -

Beliau berkata setiap hari, KKM akan melihat kewujudan varian ini dan sejarah perjalanan pengembara yang disahkan positif dijangkiti varian ini.

“Sekiranya penilaian risiko KKM menunjukkan bahawa risiko sesebuah negara itu sudah meningkat maka kita akan meletakkan negara berkenaan sebagai senarai merah dan mungkin sekatan akan dibuat.

“Setakat ini, tiada kes Omicron dikesan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Perasmian Klinik Kesihatan Kapar hari ini.

Semalam, Khairy mengumumkan pengembara warga Malaysia yang merancang lawatan ke tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe tidak akan dibenar meneruskan perjalanan mereka.

Beliau berkata ia merupakan inisiatif kerajaan dalam mempertingkat langkah pencegahan dan kawalan sempadan termasuk bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara.

Katanya tiga negara telah melaporkan kes membabitkan varian Omicron iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (empat) dan Hong Kong (dua). – BERNAMA

- Advertisement -