PRN Sarawak: GPS yakin menang dua pertiga majoriti

- Advertisement -

KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menang majoriti dua pertiga kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Beliau berkata dengan keputusan parti Bersatu yang tidak akan bertanding pada PRN itu juga, akan membolehkan GPS terus fokus menghadapi calon pihak lawan sedia ada.

- Advertisement -

“Kita perlu yakin, dengan atau tidak (rakan-rakan mesra GPS) tetapi tentu sekali dengan tiadanya gangguan, kami akan berada dalam keadaan lebih tenang.

“Sekurang-kurangnya kami boleh fokus kepada pihak lawan atau parti yang kita tahu akan memberikan cabaran kepada kami,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Jelajah Belia Sarawak 2021 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Sarawak yang juga merupakan Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hari ini dilaporkan berkata Bersatu tidak akan bertanding pada PRN Sarawak kerana menghormati hasrat pimpinan GPS, selain mahu parti itu menang dengan cemerlang.

Abdul Karim berkata keputusan yang dibuat Muhyiddin itu adalah amat bertepatan dengan kehendak rakyat Sarawak yang mahu ditadbir oleh parti asal negeri Sarawak.

“Mungkin Bersatu membuat keputusan itu selepas melihat sendiri bagaimana parti Umno dapat menyesuaikan diri mereka dengan parti-parti yang ada di Sarawak ini, selain telah melihat secara mendalam bahawa rakyat Sarawak mahu ditadbir oleh parti Sarawak dan mahu parti sedia ada sahaja bertanding,” katanya.

Untuk rekod, GPS dijangka akan bertanding di kesemua 82 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada PRN yang akan datang. – BERNAMA

- Advertisement -