Kos ibadat haji dijangka meningkat 50 peratus

Ahmad Marzuk ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran membabitkan 18 keluarga di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu, hari ini.
- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:  Kerajaan menjangkakan kos menunaikan ibadat haji meningkat sehingga 50 peratus, berikutan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi naik kepada 15 peratus, berbanding lima peratus sebelumnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary, berkata jangkaan kos melebihi RM30,000, berbanding sebelum ini RM23,000.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, jumlah tepat yang akan diputuskan  akan diketahui awal tahun hadapan sebelum mengerjakan ibadat berkenaan. 

Selain peningkatan VAT, katanya, kos turut meningkat disebabkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu susulan pandemik Covid-19.

“Sebagaimana kita tegaskan sebelum ini, Tabung Haji akan menanggung sebahagian daripada jumlah kos, namun kita belum putuskan berapa banyak yang akan ditanggung.

“Jika sebelum ini kos mengerjakan haji  RM23,000, namun kita hanya mengenakan RM9,980 daripada jemaah dan jumlah itu tidak pernah dinaikkan sejak 2001.

“Pada masa sama, kita juga berusaha untuk menyedarkan bakal haji yang mampu dapat membayar penuh kos berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran membabitkan 18 keluarga di Jalan Gajah Mati, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk berkata, ada kemungkinan kuota haji untuk Malaysia sebelum ini sebanyak 30,000 jemaah akan dikurangkan.

“Kita perlu terima apa sahaja kemungkinan disebabkan Covid-19. Melihat kepada situasi semasa penurunan kes Covid-19 di negara berkenaan, kita mengharapkan jumlah kuota itu dapat dikekalkan atau ditambah,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2021

- Advertisement -