Kelantan minta penjelasan mansuh bayaran tunai royalti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meminta penjelasan Menteri Kewangan berhubung pemansuhan bayaran tunai royalti kepada negeri ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, penjelasan itu perlu bagi meyelesaikan persoalan yang timbul ekoran jawapan Menteri Kewangan itu dalam persidangan Dewan Rakyat pada 24 November lalu.

“Oleh itu, kita meminta penjelasan lebih lanjut daripada Kerajaan Persekutuan ekoran jawapan tersebut yang dilihat tidak selari dengan kenyataan-kenyataan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Untuk rekod sebelum ini, Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 telah memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memansuhkan Program Wang Ehsan dan memutuskan bayaran tunai petroleum disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

“Malah, bayaran tunai dan hasil pengeluaran bagi Negeri Kelantan telah diperakui oleh Kerajaan Persekutuan dalam persidangan Dewan Rakyat pada 30 Oktober 2019 dan 28 Julai 2020 oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), maknanya sudah tiga kali ada kenyataan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai melancarkan Sambutan Bulan Keluarga Malaysia 2021 peringkat Negeri Kelantan bertempat di Dewan Bunga Teratai Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Kelantan juga berpendirian bahawa bayaran tunai adalah kaedah yang tepat dan terbaik berdasarkan peruntukan yang jelas dalam perjanjian 1975 antara kerajaan negeri dan Petronas.

Katanya, ia juga adalah selaras dengan pendirian dan keputusan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Kerajaan negeri percaya pendirian ini adalah berlandaskan semangat federalisma dan Keluarga Malaysia demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat Negeri Kelantan.

“Saya sendiri juga telah membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri pada 16 November lepas dan saya telah memberi jawapan menteri di Parlimen bahawa Kerajaan Kelantan berhak mendapat tunai royalti.

“Malah jawapan yang dijawab ialah Sabah, Serawak, Terengganu dan Kelantan diberi tunai petroleum, itu jawapan maka saya berhasrat supaya diberi secara tunai,” ujarnya.

Bagaimanapun ketika ditanya tindakan susulan berhubung penjelasan yang dimaksudkan Ahmad berkata, kerajaan negeri akan menulis surat kepada Menteri Kewangan secepat mungkin.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 24 November beliau berkata ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 27/11/2021

- Advertisement -