Isu mandi Safar: Jakim adakan siasatan

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini mengadakan siasatan dengan memanggil seorang ustaz terbabit sekiranya perlu, berhubung kuliah agama mengenai mandi Safar yang tular di media sosial sejak semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara itu sudah dalam pengetahuan pihak jabatan agama negeri. 

- Advertisement -

Mengulas berhubung isu tersebut, beliau berkata, berkaitan amalan mandi Safar yang tular itu adalah bersifat khurafat. 

Menurutnya, perkara itu sudah disebut dalam hadis Bukhari dan sahih Muslim tidak ada kesialan dalam bulan Safar.

“Ini antara amalan jahiliah yang kita kena buang serta ubah masyarakat kita supaya tidak menganggap bulan Safar sebagai bulan sial.

“Nabi menegur kerana perkara itu berlaku sejak jahiliah dan pada zaman Nabi pun, sudah ada sehingga Nabi sebut dalam hadis bahawa tidak ada kesialan dalam bulan Safar. Jika masyarakat cuba hidupkan kembali amalan itu (mandi Safar), seolah-olah ia kembali kepada zaman jahiliah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada 18 keluarga mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainah, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial kuliah agama menerusi dalam talian tentang seorang ustaz berhubung amalan mandi Safar.

Menerusi kuliah berkenaan, ustaz terbabit mengatakan mandi Safar iaitu mandi pada hari Rabu terakhir bulan Safar adalah sebagai usaha menolak bala.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya mengarahkan Jakim dan jabatan agama negeri supaya memantau kuliah agama oleh pemegang tauliah yang bebas mengajar di masjid dan disiarkan melalui media sosial.

“Pihak kita sudah ada perbincangan secara dalaman terhadap apa saja isu yang tular dan kita memohon pihak berkuasa agama meneliti isi kandungan penceramah,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2021

- Advertisement -