Harga barang naik: Kerajaan perlu bertegas

PAS Kawasan Indera Mahkota (PASKIM) memandang serius terhadap kerisauan rakyat khususnya penduduk di Parlimen Indera Mahkota mengenai isu kenaikan harga barang yang mendadak di kala negara masih lagi bertarung menentang COVID-19.

Isu kenaikan harga barang khususnya barangan keperluan rakyat menjadi satu bebanan dan tamparan kepada rakyat di kala rakyat masih lagi sedang bertarung untuk memulihkan kembali ekonomi mereka.

Advertisement

PASKIM menyambut baik dan menghargai segala usaha dan inisiatif Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang memberi bantuan seperti bakul makanan untuk menampung meringankan sedikit bebanan rakyat.

Justeru dengan isu kenaikan harga barang ini, pihak PASKIM menggesa kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mencari solusi yang proaktif dan tuntas bagi membendung masalah kenaikan harga barang ini.

Di samping itu, pihak PASKIM juga menggesa penguatkuasaan dan pemantauan yang berterusan bagi mengelakkan perbuatan memanipulasi barangan dan harga daripada pemborong terhadap peniaga.

Pihak PASKIM berharap pihak kerajaan terutamanya KPDNHEP dapat memainkan peranan mereka dengan sewajarnya agar isu kenaikan harga barang ini dapat dibendung seterusnya meningkatkan kembali kuasa beli rakyat.

PASKIM juga menggesa supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan dengan menjadikan isu ini sebagai modal politik murahan dan mengeruhkan lagi keadaan. 

Pihak PASKIM berharap semua pihak sama-sama memainkan peranan masing-masing dan berganding bahu dalam menangani isu kenaikan harga barang ini sekali gus ia membantu ke arah meningkatkan kestabilan ekonomi negara, kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat.

“Islam Menyatukan Ummah”
“Memacu Perpaduan”
“Bersama Pulihkan Negara”

AHMAD AZLAN ABU BAKAR
Ketua Penerangan 
PAS Kawasan Indera Mahkota – HARAKAHDAILY 27/11/2021