Ahli-ahli PAS sebagai kuasa ekonomi

- Advertisement -

MEREKA yang memulakan apa sahaja perniagaan sudah tentu telah memikirkan sasaran untuk perniagaan mereka. Jika mereka menghasilkan sesuatu keluaran atau memasarkan sesuatu keluaran, mereka akan terlebih dahulu memikirkan siapa yang akan membelinya. Begitu juga bagi mereka yang menawarkan sesuatu perkhidmatan, mereka juga perlu terlebih dahulu memikirkan siapa yang akan melanggan perkhidmatan mereka.

Sebuah kedai runcit di taman perumahan dengan beberapa ratus buah rumah akan menjadikan penduduk taman tersebut sebagai sasaran. Sementara sebuah kilang besar yang memasarkan keluarannya ke luar negara akan menjadi pelanggan-pelanggan di dalam dan di luar negara sebagai sasaran. Mana-mana perniagaan atau perusahaan tanpa pasaran yang jelas akan menghadapi masalah.

Ketika kempen beli barangan Muslim, Buy Muslim First (BMF), umat Islam merupakan sasaran atau pasaran utama. Kesedaran terhadap tanggungjawab untuk membantu perniagaan-perniagaan Muslim telah berjaya menyemarakkan kempen ini. BMF telah berjaya memperkenalkan keluaran-keluaran umat Islam sehingga mendapat tempat di hati para pengguna. Kempen BMF ini telah membuat umat Islam sedar akan kuasa mereka sebagai pengguna.

- Advertisement -

Kuasa ini cukup terserlah apabila umat Islam melancarkan boikot terhadap perniagaan-perniagaan, produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan yang mempunyai hubungan dengan negara haram Israel atau yang menyokong rejim tersebut. Ia membuktikan bahawa kuasa juga ada di tangan pengguna dan bukan hanya pada tauke-tauke besar atau korporat-korporat.

Jika lebih 20 juta umat Islam di Malaysia boleh memiliki kuasa membeli dan memboikot yang tidak boleh dipandang remeh maka sudah tentu lebih kurang 1 hingga 2 juta orang ahli dan penyokong PAS turut memiliki kuasa tersebut. Walaupun bilangan mereka tidak sampai 10 peratus daripada umat Islam namun ia turut dapat memberi kesan jika dapat digerakkan. Tambahan pula di kawasan-kawasan Parlimen atau kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri tertentu, peratusan mereka adalah tinggi.

Orang politik akan melihat bilangan ini sebagai undi yang akan diperolehi ketika pilihan raya atau petugas-petugas untuk berkempen. Walau bagaimanapun dari sudut ekonomi ia adalah satu pasaran yang patut diberi perhatian. Sebuah PAS kawasan yang kecil mungkin memiliki 3,000 hingga 5,000 orang ahli. Terdapat perniagaan seperti kedai runcit yang dapat terus bertahan dengan bilangan pelanggan yang lebih kecil dari itu. Kawasan-kawasan PAS dan cawangan-cawangan PAS wajar memanfaatkan pasaran dalam kalangan ahli-ahli. Projek ini jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan dapat menambah pendapatan PAS kawasan atau PAS cawangan di samping membantu menghidupkan semula kempen BMF yang hari ini kelihatan seperti hidup segan mati tidak mahu.

Setiap PAS kawasan memiliki pejabat atau markas mereka sendiri. Ada yang disewa dan ada yang dibeli. Sudah tentu merugikan jika kegunaannya tidak dipelbagaikan. Selain dari menjadi tempat mesyuarat, pertemuan, kuliah, ceramah atau usrah ia juga boleh menjadi pusat untuk menjana kekuatan ekonomi. Satu sudut boleh diperuntukkan untuk menjual atau memasarkan keluaran-keluaran Muslim kepada ahli, penyokong dan orang ramai. Sekurang-kurangnya projek ini dapat menarik masyarakat kepada PAS.

Senarai ahli hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya. PAS kawasan boleh menawarkan khidmat penghantaran sekiranya ahli-ahli membeli secara tetap setiap bulan. Projek ini boleh dimulakan dengan barangan asas seperti beras, minyak masak, tepung, susu, gula atau telur. Jika terdapat 300 keluarga PAS di dalam sesuatu kawasan Parlimen yang memesan barangan tersebut secara tetap setiap bulan ia akan memberi pulangan yang dapat membiayai gerak kerja PAS kawasan. Bilangan ini pasti lebih ramai di kawasan-kawasan yang ramai ahlinya.

Selalunya para pelanggan akan membandingkan harga. Anda mungkin tidak dapat menyaingi harga yang ditawarkan oleh pasar raya-pasar raya besar justeru itu kesedaran untuk membantu jemaah perlu ditanam dan dipupuk pada setiap ahli. Walau bagaimanapun PAS kawasan boleh mendapatkan bekalan barangan dengan harga yang lebih murah jika membelinya secara pukal bersama PAS kawasan yang lain atau badan perhubungan negeri membelinya untuk seluruh negeri.

Ahli-ahli PAS yang begitu ramai adalah satu aset ekonomi yang kita mungkin tidak sedar. Selama ini orang lain yang mengautkan keuntungan dari ahli-ahli kita. Keadaannya sama seperti orang lain menjadi kaya raya mengautkan keuntungan dari orang Islam walhal orang Islam terus berada di takuk yang lama. Bukan sahaja keperluan harian tetapi perkhidmatan-perkhidmatan seperti membaiki kereta, membeli kenderaan, membeli rumah, memperbaharui cukai jalan atau membeli insurans kereta wajar dilakukan melalui ahli-ahli kerana sekurang-kurangnya mereka akan menyumbang semula kepada parti. Tetapi kadang kala akibat sikap tidak sensitif kita, kita tersilap memberi sokongan kepada perniagaan-perniagaan yang tidak mesra kepada Islam atau yang menyumbang kepada mereka yang memusuhi perjuangan Islam.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 27/11/2021

- Advertisement -