Waspada penangan ‘orang ketiga’ dalam rumah tangga

DALAM sebuah institusi keluarga, pentingnya setiap pasangan untuk mewujudkan hubungan yang harmoni, berteraskan toleransi, tolak ansur dan komunikasi yang baik.

Walau bagaimanapun, ada kalanya hubungan ini rosak disebabkan peranan ‘orang ketiga’ dalam rumah tangga. Ada kalanya, nasihat dan tindakan yang diberikan orang ketiga inilah yang menghancurkan kebahagiaan institusi kekeluargaan. 

Advertisement

Dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, terdapat 3 seksyen yang memperuntukkan mengenai gangguan orang ketiga dalam rumah tangga iaitu Seksyen 36 (memujuk lari perempuan bersuami), Seksyen 37 (menghalang pasangan yang sudah bernikah hidup bersama), dan Seksyen 38 (menghasut suami/isteri supaya bercerai atau mengabaikan tanggungjawab).

Orang ketiga juga bukan hanya merujuk kepada orang luar, rakan sekerja atau rakan karib, malah definisinya juga terpakai kepada ibu atau bapa mertua, serta ahli keluarga sendiri yang menghalang dan merosakkan rumah tangga yang dibina. 

Soal berkenaan gangguan orang ketiga dalam perkahwinan ini adalah antara topik yang dibincangkan dalam Program Penerangan, Pencegahan dan Kesedaran Undang-undang Syariah Bagi Jabatan Kerajaan dan Agensi Swasta Peringkat Wilayah Persekutuan Siri 3 Tahun 1443H/2021.

Alhamdulillah, sekalipun mengharungi berbagai cabaran akibat pandemik, pihak JAWI tetap berjaya melunaskan ketiga-tiga siri program ini yang menjadi amalan kebiasaan setiap tahun. 

Hasrat kita di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bagi memastikan wujudnya sebuah institusi kekeluargaan yang harmoni, dalam hasrat untuk membina Keluarga Malaysia yang sejahtera. Semoga siri-siri penerangan ini akan dapat diteruskan di masa akan datang.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 26/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/412578727095840/posts/452399049780474