Varian baharu Covid-19: B.1.1.529 dikesan di Afrika Selatan

Kemunculan varian terbaharu Covid-19 di Afrika Selatan menimbulkan kebimbangan baharu penularan semula virus pembunuh tersebut. (FOTO DW NEWS)
- Advertisement -

JOHANNESBURG: Pasukan saintis Afrika Selatan menyatakan kebimbangan mengenai varian baharu Covid-19, di kenali sebagai B.1.1.529 yang telah dikesan dalam skala kecil di negara itu dan kini mereka sedang berusaha untuk memahami potensi implikasinya.

Kebimbangan timbul berdasarkan kadar mutasi varian baharu itu yang ‘sangat luar biasa’ kerana mampu mengelakkan tindak balas imun badan manusia, menjadikan ia boleh mudah dijangkiti.

- Advertisement -

Institut Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NICD) berkata, 22 kes positif varian baharu itu telah direkodkan di negara itu berikutan penjujukan genomik, lapor bloomberg.

“Malangnya kami telah mengesan varian baharu yang menjadi punca kebimbangan di Afrika Selatan,” kata Tulio de Oliveira, dari Rangkaian Pengawasan Genomik di Afrika Selatan, menerusi sidang akhbar pada hari Khamis (25 Nov).

Menurutnya, B.1.1.529 ‘mempunyai bilangan mutasi yang sangat tinggi’ dan malangnya ia mampu menyebabkan kebangkitan semula pertambahan jangkitan Covid-19.

“Varian baharu ini telah dikesan di Botswana dan Hong Kong dalam kalangan pelancong dari Afrika Selatan,” dedah De Oliviera.  

NICD dalam satu kenyataannya pula berkata bahawa kes yang dikesan dan peratusan ujian positif ‘meningkat dengan cepat’ di tiga wilayah negara itu termasuk Gauteng, termasuk di bandar Johannesburg dan ibu negara Afrika Selatan, Pretoria.

“Wabak kelompok, tertumpu di institut pengajian tinggi di Pretoria baru-baru ini telah dikenal pasti. Walaupun datanya terhad, pakar kami bekerja lebih masa dengan semua sistem pengawasan yang telah ditetapkan untuk memahami varian baharu dan kemungkinan implikasinya,” ujar kenyataan tersebut.

Jangkitan harian Covid-19 di Afrika Selatan telah melonjak kepada lebih 1,200 kes bermula pada Rabu (43 Nov 2021).

Sementara Menteri Kesihatan, Joe Phaahla berkata, varian itu adalah ‘kebimbangan serius’ dan di sebalik peningkatan kes yang dilaporkan, menjadikannya suatu ‘ancaman besar’.

Jangkitan harian Covid-19 di Afrika Selatan melonjak kepada lebih 1,200 kes pada hari Rabu (24 Nov), meningkat daripada kira-kira 100 kes berbanding awal bulan ini.

Sebelum pengesanan varian baharu itu, pihak berkuasa telah meramalkan gelombang keempat akan melanda Afrika Selatan bermula sekitar pertengahan Disember 2021, disokong oleh pergerakan orang ramai menjelang musim perayaan.

Sehubungan itu, pasukan saintis Afrika Selatan akan bertemu dengan pasukan teknikal Pertubuhan Kesihatan Sedunia  WHO pada hari ini, Jumaat (26 Nov) bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai B.1.1.529.

Terdahulu, pada Khamis (25 Nov), Britain telah mengharamkan penerbangan dari Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Namibia dan Zimbabwe bermula tengah hari waktu tempatan pada hari Jumaat. 

Enam negara di Afrika itu akan dimasukkan ke dalam senarai merah Britain, yang memerlukan pengembara British yang datang dari negara-negara berkenaan untuk dikuarantin semasa ketibaan.

“Lebih banyak data diperlukan tetapi kami mengambil langkah berjaga-jaga sekarang,” kata  Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid dalam tweet miliknya.

Sejak awal wabak Covid-19 melanda, Afrika Selatan telah merekodkan kira-kira 2.95 juta jangkitan kes Covid-19, dengan 89,657 daripadanya meninggal dunia. – HARAKAHDAILY 26/11/2021

- Advertisement -