PRN Sarawak: PAS hantar delegasi bincang bersama GPS

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: PAS menghantar delegasinya untuk berbincang bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, keputusan PAS sama ada untuk bertanding di PRN Sarawak atau sebaliknya, belum dimuktamadkan.

- Advertisement -

Katanya, perbincangan masih dijalankan di peringkat parti dan tiada sebarang ketetapan dibuat setakat ini.

“Mengenai PRN Sarawak ini, (kita) sedang dalam proses perbincangan di peringkat parti-parti dan PAS juga menghantar delegasi perbincangannya untuk berbincang dengan GPS.

“Semua masih dalam proses perbincangan lagi, jadi tidak ada sebarang ketetapan lagi dimuktamadkan, kerana masih lagi dalam proses perbincangan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Sementara itu, Ir Khairil Nizam juga meminta supaya Ahli PAS bertenang dan mempercayai keputusan yang dibuat kepimpinan parti.

“Insya-Allah kepimpinan akan buat ketetapan yang terbaik untuk PAS dan juga penyatuan ummah,” katanya.

Pada Rabu (24 Nov 2021), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRN Sarawak pada 18 Disember ini.

Sementara, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember, dan tarikh pengundian awal pada 14 Disember.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-11 dibubarkan berkuat kuasa pada 3 November lalu seterusnya memberi laluan kepada PRN.

SPR pada 4 November lalu mengumumkan PRN Sarawak akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan untuk pembatalan proklamasi darurat di negeri tersebut. – HARAKAHDAILY 26/11/2021

- Advertisement -