Pemuda PAS giat bantu mangsa banjir di Ampang

PAGI semalam saya bersama-sama Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia yang juga Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Ustaz Hanafi Zulkafli dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syukri Omar membuat tinjauan gerak kerja Jabatan Amal di lokasi banjir kilat di Bukit Belacan, Ampang. Menyambut kehadiran kami ialah YDP PAS Kawasan Ampang Khasim Abdul Aziz dan Ketua Pemuda PAS Ampang, Ustaz Azwan Zainudin.

Advertisement

Secara kebetulan, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Siti Zailah binti Mohd Yusoff turut hadir kemudiannya untuk membuat tinjauan susulan.

Alhamdulillah, anggota Jabatan Amal Malaysia telah berkampung selama tiga hari untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir. Saya sempat membuat tinjauan ke satu lokasi di mana jambatan besi selebar 3 kaki telah diangkat beramai-ramai oleh kira-kira 50 orang anggota Jabatan Amal malam tadi. Jambatan ini menghubungkan ke dua buah rumah penduduk yang turut terjejas akibat banjir lumpur ini.

Saya turut membuat tinjauan di lokasi pembinaan East Klang Valley Expressway yang tidak boleh dinafikan turut sama menyumbang kepada kejadian lumpur ini. Sayang sekali, hutan simpan yang dulunya menjadi tempat peranginan terpaksa ditutup akibat pembinaan lebuhraya ini. Pihak kontraktor yang sempat ditemui tadi memberikan jaminan bahawa mereka akan mengusahakan pembinaan semula landskap rekreasi hutan lipur ini selepas pembinaan EKVE selesai. 

Kesan banjir ini masih lagi teruk, semua pihak yang boleh hulurkan sumbangan, datanglah. Tahniah Jabatan Amal, sebagaimana biasa terus cemerlang. Ketepikan dahulu kepentingan politik.

Ada juga pihak politik yang datang menutup jalan terlebih awal dan tidak membenarkan Jabatan Amal masuk dengan alasan mereka akan hantar sukarelawan. Kesudahannya, rumah-rumah mangsa tidak dibersihkan dan sukarelawan yang dijanjikan pun tidak tiba-tiba. Ada yang datang pacak bendera parti sepanjang jalan, kemudian pergi. 

Bencana sebegini ialah isu kemanusiaan, ia bukan isu politik. Sekali lagi syabas dan tahniah setinggi-tingginya kepada Jabatan Amal Malaysia.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 26/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/594749566/posts/10157097424954567/