PAS sudah biasa ditohmah pihak tertentu – Nuridah

Oleh: SARINA ISMAIL

PADANG TERAP: PAS sudah biasa dengan tohmahan pihak tertentu dalam banyak perkara termasuk isu kerajaan negeri Kedah tidak mengeluarkan lesen baharu bagi premis judi, yang sebenarnya lebih dilihat sebagai tindakan yang tepat dan sangat dialu-alukan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, judi bukanlah budaya yang baik malah ia sebenarnya merosakkan masyarakat serta menggugat keselamatan dan kesejahteraan awam, namun apabila PAS cuba melakukan tindakan yang baik itu, muncul pihak tertentu yang melemparkan tohmah terhadap parti tersebut.  

Advertisement

“Apabila berlaku judi, salahkan PAS, dan apabila PAS mahu hentikan judi pun bunyi (tohmah) macam-macam,” tegasnya ketika ditemui HarakahDaily semalam.

Sehubungan itu, beliau memuji tindakan tegas kerajaan berkenaan isu lesen premis judi tersebut.

“Saya amat mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana budaya judi ini tidak akan memberi apa-apa faedah kepada masyarakat dan negara.

“Selain itu peluang sebagai kerajaan (pemerintah) yang diberi Allah disaat ini gunalah sebaik-baiknya terutama membentras perkara yang dilarang agama,” ujar beliau

Menurutnya lagi, isu berkaitan lesen premis judi bukan perkara baharu dalam PAS kerana sebelum ini kerajaan Kelantan juga telah melakukan tindakan yang sama.

“Tetapi biasalah, peringkat awal ini penerimaan masyarakat bermacam-macam, tetapi lama-kelamaan mereka akan melihat dan merasai sendiri kebaikan akan pelaksanaannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/11/2021