KPDNHEP mesti proaktif tangani isu harga barang

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengambil maklum suara rakyat yang mengeluh beberapa hari ini terhadap isu kenaikan harga barangan terutama yang melibatkan barangan keperluan makanan dan masakan harian. 

Isu ini sangat dekat dengan rakyat apatah lagi kesan pandemik, kita semua sedia maklum status kewangan rakyat umum masih dalam pemulihan, begitulah juga sektor ekonomi yang melibatkan para peniaga dan pengusaha. Jika kenaikan harga ini tidak diuruskan dengan baik, ia akan memberikan kesan yang teruk kepada rakyat selaku pengguna.

- Advertisement -

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) digesa untuk lebih proaktif dengan tindakan segara sama ada pelan jangka pendek dan jangka panjang. Rakyat sudah jemu mendengar agensi yang terbabit hanya melaporkan ‘sedang mengkaji’ atau ‘sedang bermesyuarat’ sedangkan isu terus berlaku. 

Dalam masa yang sama perlunya pemantauan menyeluruh di waktu ini agar tiada peniaga-peniaga yang cuba ambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan sesuka hati atau secara manipulasi dari isu ini. Terdapat beberapa insiden yang kecoh di media sosial mengenai harga kayangan yang tidak masuk akal yang diadu oleh pelanggan atau pengguna. 

Bagi jangka pendek, pihak kerajaan juga boleh melihat apa faktor penyebab kenaikan harga sesuatu barangan. Jika melibatkan kos penghasilan, pembuatan atau modal asas, wajar diberikan subsidi bagi meringankan beban pengusaha dan peniaga di samping meringankan bebanan belanja rakyat dengan penetapan harga kawalan yang rendah. 

Jangka panjang pula, menerusi agensi di kementerian yang berkaitan, boleh diusahakan pelan bagi memastikan produktiviti negara dihasilkan dengan buatan sepenuhnya secara tempatan bagi mengurangkan kebergantungan barangan luar yang diimport. 

Dalam isu ini, rakyat bukan mahu mendengar pelan yang bombastik namun lambat dan kurang memberikan hasil yang melegakan. Rakyat mahukan tindakan segera, dan inilah masanya kerajaan mendengar suara ini dengan tindakan segera sebagaimana pelan jangka pendek dan jangka panjang yang dinyatakan di atas. 

DPPNS sekali lagi menggesa KPDNHEP dan mana-mana agensi berkaitan dalam isu kenaikan harga barang ini untuk mengambil sikap proaktif dan segera melakukan sesuatu demi kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat. 

“Memacu Perpaduan”
“Demi Islam Sedia Berjuang”

USTAZ MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 26/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/225685927482720/posts/5008254669225798/?sfnsn=mo

- Advertisement -