Aspirasi 100 hari KASA berjaya tercapai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pelan strategik dengan peruntukan RM50 juta khusus bagi mengelak tragedi kepala air dan banjir lumpur di sekitar kaki Gunung Jerai, Yan, Kedah pada 18 Ogos lepas berulang, merupakan antara penanda aras kejayaan Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sasaran utama yang dicapai oleh pihaknya dalam membantu rakyat dapat dilihat menerusi pelaksanaan usaha bagi menangani isu bekalan air, dan pelaksanaan projek mitigasi serta sistem amaran banjir bagi mengelak kejadian bencana pada 18 Ogos itu berulang.

- Advertisement -

Beliau berkata di samping itu kementeriannya juga meletakkan sasaran untuk melaksanakan pelbagai projek yang dapat memanfaatkan rakyat, antaranya program membekalkan air kepada penduduk yang tinggal jauh daripada sistem paip utama.

“Kita bangunkan satu sistem yang kita namakan Wakaf Air, sistem ini ialah salah satu projek yang kita laksanakan dalam tempoh 100 hari ini. Terdapat 12 projek yang kita letak sasaran yang dapat dimanfaatkan oleh 6,262 penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sebelum menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan tajuk Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kementerian Alam Sekitar dan Air malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata pihak kementerian juga sedang memperluaskan lagi sistem pengambilalihan perkhidmatan pembentungan daripada majlis-majlis perbandaran.

“Dengan pengambilalihan air ini, bermakna di Semenanjung, Indah Water Konsortium (IWK) telah ambil alih sistem pengurusan pembentungan kita dan kita telah pun capai sasaran. Walaupun proses ini mengambil masa yang sangat panjang tapi kita berjaya selesaikan,” katanya.

Beliau berkata kejayaan pihaknya dalam mencapai sasaran yang ditetapkan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) itu adalah hasil usaha gigih seluruh jentera kementerian dalam mencapai aspirasi Keluarga Malaysia bagi tempoh 100 hari selepas beliau dilantik ke jawatan menteri Ogos lepas. – BERNAMA

- Advertisement -