1MDB: PAS tuntut penjelasan SPRM, PDRM

KUALA LUMPUR: PAS menuntut penjelasan terperinci daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan aset dana milik 1MDB melibatkan akaun Iron Rhapsody Ltd dan Cutting Edge Industries Ltd.

Advertisement

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, kedua-dua syarikat tersebut telah dikaitkan dengan suami kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz iaitu Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

Tegas beliau, PDRM wajar tampil menjelaskan hasil siasatan memandangkan ia telah bermula sejak awal tahun 2021 di mana penjelasan harus segera dilakukan kerana ia melibatkan wibawa institusi awam.

“PDRM juga mengakui bahawa siasatan telah dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” ujarnya.

PAS katanya, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada SPRM dan agensi penguatkuasaan antarabangsa susulan kejayaan membantu memulihkan pemulangan aset dana 1MDB yang kini berjumlah RM20.5 bilion kepada Kerajaan Malaysia.

Sebelum ini berbangkit gesaan awam supaya siasatan menyeluruh dijalankan terhadap mereka susulan pengesahan SPRM mengenai RM65 juta dana 1MDB telah disimpan dalam akaun bank di Singapura.

Di mana pada Mac lalu, Tawfiq telah disoal siasat polis berhubung dana 1MDB, bagaimanapun tiada maklumat terkini mengenai siasatan itu.

SPRM kini sedang giat meneruskan pemulihan aset dana 1MDB di dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan serta Singapura.

Antara yang terbaharu diumumkan SPRM adalah telah menerima pemulangan wang berjumlah RM3.61 juta dari Commercial Affairs Department (CAD) Singapura pada 12 November lalu.

Juga pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil kepada Kerajaan Malaysia itu menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset milik Kementerian Kewangan Malaysia.

Kerajaan Singapura juga telah terdahulu membantu pemulangan aset sebanyak RM64.42 juta kepada Malaysia melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

SPRM juga dimaklumkan sedang dalam usaha untuk pemulihan aset bagi negara-negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus, Hong Kong yang melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB – HARAKAHDAILY 26/11/2021