Usahawan tempatan perlu didedah pemasaran digital

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Golongan belia perlu diberi pendedahan berkaitan penggunaan peranti pemasaran digital secara lebih komprehensif.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Perlis, Dr Mohd Saifizi Saidon berkata, usaha itu perlu dilakukan secara serius oleh kerajaan atau institusi berkaitan.

Katanya, kerajaan boleh bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mengumpul usahawan muda khususnya bagi menjalani latihan pemasaran digital demi pembangunan ekonomi.

- Advertisement -

Menurut beliau, golongan terbabit tidak boleh hanya bergantung dengan pasaran dalam negeri sahaja kerana skala pasarannya kecil.

“Pemasaran digital adalah peranti terbaik untuk memperluaskan pasaran bagi meningkatkan ekonomi usahawan tempatan.

“Geran atau insentif khas kepada golongan tersebut boleh diberi untuk membolehkan mereka mengikuti kursus bagi membangun perniagaan melalui bimbingan pemasaran secara digital,” katanya di sini.

Dr Mohd Saifizi juga berkata, kemahiran dan ilmu perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan lagi kualiti produk dan pemasaran.

Malah, katanya juga Perlis dapat memanfaatkan pasaran lebih luas dalam zon Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT).

“IMT-GT memberi fokus kepada tujuh perkara utama iaitu kerjasama di bidang pengangkutan dan ICT, perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pertanian, produk halal dan perkhidmatan, persekitaran dan pembangunan sumber manusia serta akademik dan budaya.

“Oleh itu, menerusi kelebihan kedudukan strategik Perlis, ia perlu dimanfaatkan usahawan tempatan untuk membina jaringan perniagaan,” katanya.

Menurutnya juga kempen Perlis Go-Digital merupakan langkah yang tepat sebagai usaha bagi membangunkan ekonomi rakyat.

Kata beliau juga Perlis mempunyai keunikan budaya, buah harum manis, produk pertanian, pakaian, inapan desa dan pelancongan yang boleh dipasarkan kepada masyarakat luar.

“Kedudukan Perlis berdekatan dengan Langkawi sesuai dijadikan destinasi transit yang boleh dipromosikan melalui sistem pemasaran digital,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -