Tangkis segera isu viral kenaikan harga barang

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menangkis dengan segera sebarang isu viral berhubung kenaikan harga barang tertentu yang sering dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, berkata sebagai contoh hari ini, senarai penuh harga produk sebuah syarikat pengeluar berasaskan roti tersebar.

- Advertisement -

Katanya, rakyat tidak marah terhadap syarikat berkenaan, tetapi marah kepada kerajaan yang kononnya melalui kementerian ini tidak mampu mengawal kenaikan itu.

“Isu kenaikan harga barang kini menjadi perbualan ramai rakyat di bawah. Suri rumah merungut harga ikan, ayam dan sayur-sayuran naik mendadak. Kontraktor binaan dan orang kampung yang berhasrat membina bina rumah juga resah dengan kenaikan harga bahan binaan. Pesawah pula dibebani kenaikan harga benih padi dan racun.

“Walaupun kerajaan mengumumkan pelbagai insentif dan bantuan tunai, namun ia akan lebih bermakna jika mereka dapat menikmati setiap ringgit yang diberikan dengan membawa lebih banyak barangan keperluan untuk keluarga,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi KPDNHEP.

Abdul Latiff berkata, kenaikan ini melibatkan barangan harian yang digunakan oleh semua pihak seperti roti, tepung dan minyak masak, malah ada laporan kenaikan harga ayam sebanyak lima kali dalam masa seminggu yang tentu sangat membebankan rakyat.

“Saya ingin tahu apakah langkah komprehensif kerajaan untuk menangani masalah ini. Sudah sampai masa kementerian menangani masalah ini dengan lebih tegas. Adakah kerajaan bercadang untuk mengadakan sesi libat urus dengan kementerian yang terlibat dan turun padang lebih kerap untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Selain itu, beliau membangkitkan masalah kekurangan minyak masak bersubsidi yang tidak sepatutnya berlaku kerana negara adalah antara pengeluar sawit terbesar dunia.

Malah, katanya sesetengah peniaga mensyaratkan mesti membeli barangan lain untuk mendapatkan bekalan minyak masak.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini perlu diatasi dengan segera supaya pengguna tidak menjadi mangsa. Ketiadaan bekalan minyak masak menyebabkan peniaga kecil yang menjual pisang goreng dan kuih muih, tidak dapat berniaga,” katanya.

Beliau mencadangkan KPDNHEP memperluaskan subsidi minyak masak botol yang sudah tentu melibatkan perbelanjaan besar, namun boleh dilakukan ketika kekurangan minyak masak plastik di pasaran. – HARAKAHDAILY 25/11/21

- Advertisement -