Sarawak terus membangun ketika ada pihak dakwa bankrap

- Advertisement -

BINTULU: Ada pihak mendakwa Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun disebabkan peruntukan bajet tahunan begitu besar sehingga melebihi RM10 bilion.

Sebaliknya Sarawak sehingga sekarang terus membangun dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan bagi manfaat rakyat.

- Advertisement -

Menteri Utiliti Sarawak Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, dakwaan yang mengatakan Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun tidak menjadi kenyataan.

Katanya, sampai sekarang semakin banyak pembangunan dilaksanakan termasuk jalan raya, jambatan dan projek pembangunan lain.

“Sebelum ini ada sesetengah pihak mengatakan kita berbelanja besar berpuluh-puluh juta dan melecehkan kita,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat di Hotel Parkcity Everly Bintulu semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato’ Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip dan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai.

Dr Stephen juga berkata, Ketua Menteri sekarang sebagai seorang yang begitu berani mengumumkan peruntukan besar bagi menyediakan kemudahan kepada rakyat.

Katanya ketika mengambilalih Kementerian Utiliti beliau berdepan masalah bekalan air terutamanya di kawasan pesisir pantai dan bekalan elektrik walaupun ada bantuan daripada kerajaan pusat.

“Pada masa itu masalah air adalah ‘stress area’. Jadi Ketua Menteri memberikan peruntukan sebanyak RM4 bilion bagi menyelesaikan masalah air dan RM2.37 bilion untuk elektrik,” katanya. – EDISI UKAS

- Advertisement -