Rusuhan terbaharu di Solomon: Perusuh rompak Chinatown

Sebuah pondok yang terletak bersebelahan bangunan Parlimen di Honiara, ibu kota kepulauan Solomon terbakar angkara gerombolan perusuh semalam. (FOTO AFP)
- Advertisement -

HONIARA: Rusuhan baharu berlaku di ibu negara kepulauan Solomon di sini pada Khamis (25 Nov) dengan kumpulan perusuh bertindak merompak dengan  menyasarkan  pusat perniagaan di kawasan Chinatown.

Kejadian itu berlaku sehari selepas penunjuk perasaan cuba menyerbu bangunan parlimen di bandar tersebut dalam tindakan yang dilihat bermatlamat untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Manasseh Sogavare.

- Advertisement -

Penunjuk perasaan sebelum ini menentang perintah berkurung yang dikenakan susulan pergolakan pada hari Rabu (24 Nov) dan sekali lagi turun ke jalanan menyasarkan untuk menyerang polis dan melakukan rompakan terhadap pusat perniagaan di kawasan Chinatown di sini, kata seorang penduduk Honiara menurut laporan South China Morning Post.

Sumber di lokasi kejadian berkata, pihak polis telah membuat sekatan jalan raya tetapi rusuhan itu (pada hari ini)  tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda lebih 24 jam selepas meletus di luar bangunan parlimen semalam.

Foto seorang pengguna Twitter menunjukkan kepulan asap memenuhi udara Honiara, dipercayai dari kawasan Chinatown bandar tersebut akibat tindakan perusuh melakukan rompakan di kawasan berkenaan pada hari ini.

“Terdapat beratus-ratus perusuh dan keadaan di sini sangat tegang,” ujar sumber itu, ketika media tempatan melaporkan rompakan berkenaan dan polis menggunakan gas pemedih mata.

Saksi lain pula menyiarkan imej di media sosial tentang asap yang memenuhi sekitar  ibu negara Kepulauan Solomon itu dan berkata,  perniagaan milik orang Cina di di situ menjadi sasaran perusuh untuk melakukan rompakan.

Gerombolan perusuh berarak ke bangunan parlimen di Honaira, ibu kota Kepulauan Solomon, semalam.

Gangguan terbaharu itu berlaku selepas beberapa ratus penunjuk perasaan membakar bangunan, termasuk balai polis, dan merompak kedai-kedai perniagaan di sini pada hari Rabu selepas berarak ke  parlimen untuk menuntut peletakan jawatan Sogavare.

Sogavare sehubungan itu telah mengarahkan perintah berkurung serta-merta di seluruh Honiara, sambil menyifatkan pergolakan itu sebagai ‘peristiwa yang menyedihkan dan malang yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik’. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -