PRN Melaka: Keputusan di DUN Serkam satu sejarah

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE dan ABU ANAS

AYER KEROH:
Keputusan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung baru-baru ini adalah satu sejarah.

“Ini adalah sejarah pilihan raya yang ada dalam DUN Serkam ini dengan kekalahan tipis yang kita berikan saingan yang sengit kepada parti lawan yang bertanding dalam DUN Serkam ini.

“Ini adalah satu kejayaan yang ditunjukkan oleh PAS DUN Serkam terutamanya,” kata calon Perikatan Nasional bagi DUN itu, Ustaz Ahmad Bilal Rahuddin.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian dalam sebuah video khas ucapan terima kasih beliau kepada para pengundi yang dimuat naik di Facebook PAS Melaka malam tadi.

Menurut Bilal, terdapat peningkatan yang ketara bagi pengundi saluran tiga hingga enam yang telah memberikan sokongan padu kepada beliau.

“Insya-Allah kita akan buat post mortem di dalam masa terdekat ini, buat satu kajian mendalam bagi memastikan apakah punca-punca dan juga kelemahan yang kita perlu perbaiki pada masa akan datang,” ujarnya.

Bilal dalam ucapannya itu turut mengucapkan tahniah kepada calon BN, Datuk Zaidi Attan yang memenangi kerusi DUN itu yang juga penyandang.

“Saya ucapkan tahniah kepada kekanda saya Datuk Zaidi Attan yang sekali lagi diberi peluang oleh pengundi DUN Serkam. Dan ini adalah kali kedua saya berhadapan dengan beliau di dalam pilihan raya.

“Walau pun penurunan undi pada beliau dan peningkatan undi yang agak besar pada saya, pada Perikatan Nasional, tetapi keputusan telah dibuat oleh pengundi di dalam DUN Serkam ini. Kita kena bersama di dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat pengundi di sini,” ujarnya.

Tambah Bilal lagi beliau berlapang dada menerima keputusan pilihan raya itu dengan baik dan reda kerana semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT.

“Dan insya-Allah saya akan bekerja dengan semua pihak, menjalinkan kerjasama dengan semua pihak. Samada dari pihak kerajaan atau pihak masyarakat tempatan bagi memastikan, terutamanya kebajikan dan hak pengundi dan masyarakat di DUN Serkam ini terjaga dan terbela,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya DUN (JPRD) PAS Serkam, Cikgu Othman Salleh, yang turut menyampaikan ucapan di dalam video tersebut menzahirkan ucapan terima kasih kepada para pengundi yang telah memilih Ustaz Bilal.

“Mudah-mudahan selepas ini kita dapat bekerja dengan lebih kuat lagi, lebih bersungguh-sungguh lagi. Mudah-mudahan insya-Allah cita-cita kita untuk menobatkan Islam dalam negeri kita ini khususnya akan menjadi kenyataan,” ujar beliau.

Othman juga menzahirkan penghargaan kepada petugas negeri dari Kedah yang telah berkampung selama dua minggu membantu jentera PAS DUN Serkam.

“Terima kasih kepada negeri bantu daripada Kedah yang diketuai oleh Kapten (B) Zamri selama 14 hari mereka berkampung di Kampung Serkam kita lihat komitmen yang diberikan amat baik dan banyak ilmu yang diturunkan pada kami,” ujar beliau lagi.

Dalam PRN negeri baru-baru ini Bilal mendapat 4,959 undi hanya berbeza 79 undi dengan pemenang daripada BN yang memperolehi 5,038 undi.

Dua lagi calon iaitu daripada Pakatan Harapan (PH) Mohamad Khomeini Kamal memungut 1,535 undi manakala calon Bebas, Norazlanshah Hazali mengutip 99 undi. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -