Polis Kuantan eratkan hubungan bersama masyarakat

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Satu program dialog dan ramah mesra bersama Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu telah diadakan di Dewan Orang Ramai Sungai Ular, di sini pada Sabtu lalu.

- Advertisement -

Program ini susulan pelantikan ke jawatan itu bermula September lalu, sekali gus memenuhi slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ yang menghuraikan hubungan erat sedia wujud antara kedua pihak.

ACP Wan Zahari dalam ucapannya meminta supaya masyarakat dapat memberikan kepercayaan kepada pihak polis dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka serta tidak menyimpan persepsi negatif. 

Katanya, tugas menjaga keamanan dan ketenteraman bukan hanya terletak di bahu polis, tetapi kerjasama dan hubungan antara polis dengan masyarakat juga harus dipupuk, sekali gus meningkatkan penyampaian perkhidmatan polis kepada awam.

ADUN Beserah, Andansura Rabu yang turut bersama berkata, program ini selari dengan kehendak kerajaan untuk merakyatkan perkhidmatan polis dalam memastikan permuafakatan keduanya terus ampuh.

“Pentingnya kerjasama yang erat antara polis dan juga masyarakat untuk menjamin ketenteraman dan keselamatan masyarakat. Juga mengawal apa-apa jua perkara berkaitan hal ehwal kepentingan awam.

“Sebarang aduan ataupun perkara-perkara yang memerlukan tindakan segera dibuat, aduan tersebut hendaklah mengikut saluran, tidak membuat persepsi atau menyebabkan sikap memburukkan keadaan,” ujarnya. 

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang meminta semua pihak termasuk masyarakat dan pihak polis sama-sama menggunakan saluran yang sebetulnya dalam berkomunikasi.

Beliau menggalakkan pertemuan bersemuka daripada menggunakan media sosial untuk tujuan membuat aduan atau pun memberi pandangan. 

Hadir sama pegawai-pegawai kanan yang juga merupakan Ketua-Ketua Bahagian Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan serta Ketua Balai Polis Cherating, SM Annuar Yaakob dan para anggotanya.

Turut serta adalah Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampong (JKKK) Sungai Ular, Samsul Azlin Abd Wahid dan Ketua JKKK Cherating Abdul Razak Awang Ngah. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -