Peniaga kecil berusaha bangkit semula selepas PKP

- Advertisement -

KUALAM LUMPUR: “Alhamdulillah ustaz, kami dah boleh start berniaga balik. Boleh la bernafas sikit…”

Demikian catatan yang dimuat naik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, waktu Covid-19 yang melanda tahun lepas, peniaga-peniaga kecil amat terkesan.

Katanya, sepanjang lockdown dilaksanakan, mereka terpaksa mencari cara lain untuk mendapat sumber kewangan.

- Advertisement -

“Hari berganti, semenjak kerajaan melonggarkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), alhamdulillah peniaga-peniaga kecil berusaha untuk bangkit semula.

“Rata-rata mereka ini ada yang mengusahakan produk makanan, pakaian, kedai runcit dan ada yang memiliki bengkel,” ujarnya.

Beliau menambah, agensi Islam melalui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) turun padang seterusnya mengadakan program ISHRAF 2.0 pada hari ini.

Menurutnya lagi, modal perniagaan berjumlah RM10,000 diberikan khusus buat peserta dalam kalangan usahawan asnaf.

Katanya, YaPEIM turut memberikan tunjuk ajar dan bimbingan untuk memasarkan produk mereka secara strategik.

Tambah beliau, seramai 79 usahawan asnaf yang terpilih di seluruh negara dibantu untuk memantapkan perniagaan sedia ada.

Beliau berkata, bagi menjayakan program itu, kerjasama strategik diadakan antara YaPEIM dan SME Bank.

“Saya amat berbesar hati dapat melihat kerjasama ini dimeterai. Usaha ini akan membantu asnaf untuk bangkit semula berniaga.

“Buat para peserta diharapkan terus membina potensi diri untuk berjaya. Semoga Allah SWT memberkati usaha ini,” ujarnya.

Katanya, untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program-program keusahawanan di bawah inisiatif Program Inspirasipreneur YaPEIM dan pelbagai lagi boleh melayari YaPEIM (Official). – HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -