PAS tidak keliru identiti

- Advertisement -

PRN Melaka telah berlalu. Kesan PRN Melaka juga hampir meruntuhkan PH yang sekian lama membungkam mencari sasaran untuk dipersalahkan lantaran kehilangan kerajaan.

Menyalahkan Tun Mahathir ibarat menyalahkan harimau yang membaham kambing di dalam kandang. Lebih tepat ialah menyalahkan siapa yang membawa harimau ke kandang kambing kerana menyangka gigi dan kuku harimau tua telah reput. Perang antara PKR dan DAP yang menjadi tunjang dalam PH sudah hilang kawalannya. Segala yang membungkam dihamburkan di media maya.

- Advertisement -

Dalam masa yang sama, turut merasai kesan gelombang PRN Melaka ialah PAS. PAS yang dari awal jadi rebutan antara BN dan BERSATU terus jadi perhatian.

PAS baru sahaja melepasi fasa kecelaruan ketika era post reformasi. Sikap PAS, yang cuba menyelamatkan perpaduan khasnya umat Islam menyebabkan ada yang terlajak menyayangi hingga lupa parti sendiri. 

PAS menjadi tempat lambakan golongan yang ingin mencari tempat berteduh. PAS dilihat tempat bernaung yang utuh dan teguh. Gelombang itu berterusan dengan penubuhan GERAK dan akhirnya Pakatan Rakyat.

Bagi PAS, medan tahaluf adalah medan dakwah. Perkenalkan PAS kepada mereka yang curiga PAS sekian lama. Kalau pun mereka tidak menyokong PAS, cukuplah mereka tidak membenci PAS. Sayangnya ketika itu ada yang mengambil kesempatan mendekati pimpinan tertentu hingga cinta mereka beralih arah. Setia mereka berubah.

PAS pernah miliki Setiausaha Agung yang berkiblatkan Anwar. Bila diselidiki, ia adalah pimpinan ABIM yang pernah bersama Anwar dulu. Kasih lama yang terputus terjalin kembali hingga lupa pimpinan sendiri.

Ada kumpulan yang mendaki tangga PAS untuk mengalih haluan PAS. Kumpulan JIM yang miliki walak setia kepada kumpulan mereka bersarang dalam PAS. Membawa ketua mereka ke dalam PAS untuk dinobatkan menentu hala tuju PAS.

Ada amilin yang setia kepada PAS yang merasa seronok dengan rakan baru hingga terlupa tugas mereka sebagai da’i dan bukan menjadi mad’u.

Semua mazhab keliru dengan identiti ini wujud dalam mana-mana jemaah. Golongan ini sebenarnya miliki penyakit ‘identity conflict’ yang lupa diri sendiri. Mereka seronok dijamu rakan. Mereka seronok disanjung dan dipuji rakan. Akhirnya membawa identiti rakan ke dalam rumah sendiri. Membawa suara rakan di bilik sendiri. Malah ada ketikanya melaungkan perjuangan rakan dari anjung rumah sendiri.

Semua golongan ini telah tersingkir. Mereka disingkir oleh keluarga sendiri apabila menyedari hati mereka bukan lagi seperti baju yang dipakai selama ini.

Dalam segala kekeliruan yang dinampakkan individu-individu, hakikatnya kepimpinan utama dari Al-Mursyidul Am dan Presiden mahupun secara kolektif dari Majlis Syura dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta Muktamar Agung PAS sudah berulang kali menegaskan ‘Pertahan PN dan perkasa MN’.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 25/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000122032873/posts/7256134697733859/

- Advertisement -