Mutu pengadilan lemah boleh cemar aksi berprofil tinggi

KUALA LUMPUR: Mutu pengadilan tidak berkualiti berupaya ‘membunuh’ kemasyhuran saingan Piala Malaysia yang menyambut ulang tahun ke-100 penganjurannya tahun ini.

Menjelang dua perlawanan separuh akhir kedua pertandingan berprestij itu esok, kontroversi melibatkan keputusan pegawai perlawanan tidak seharusnya menjadi perhatian selepas 90 minit permainan.

Advertisement

Malah, perkara itu juga tidak seharusnya terjadi pada aksi berprofil tinggi dalam sesuatu kejohanan utama, demikian pandangan tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Subkhiddin Mohd Salleh.

“Perlawanan dah berjalan banyak termasuk dari saingan Liga Super dan Liga Premier, sepatutnya mutu pengadilan makin baik lagi-lagi ia di peringkat separuh akhir, sepatutnya prestasi pengadil sudah sampai ke kemuncak.

“Kalau ikut graf prestasi pengadil (dilantik) sudah cukup berkemampuan untuk mengadili perlawanan dengan baik dan jika kita membuat pemilihan, biasanya pengadil yang terbaik dipilih,” kata bekas pengadil elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan kebangsaan itu ketika dihubungi Bernama.

Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membuat perhitungan menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri manakala Melaka United FC berdepan cabaran Kuala Lumpur City FC di Stadium Hang Jebat, esok dalam merebut tempat ke final dijadual berlangsung pada 30 Nov ini.

 Tanpa merendahkan kemampuan pihak bertanggungjawab dalam soal pelantikan pengadil di peringkat domestik, Subkhiddin menjelaskan proses pemilihan pengadil di AFC dan FIFA bagi sesebuah aksi berintensiti tinggi dibuat dengan teliti berpaksikan tahap prestasi.

Menurutnya, setiap pertandingan kelolaan AFC dan FIFA, barisan pengadil dilantik akan dinilai sepanjang saingan pusingan awal sebelum hanya mereka yang menunjukkan prestasi terbaik akan dipilih untuk bertugas pada pusingan kedua.

“Habis saja pusingan kedua kita pilih lagi pengadil yang terbaik untuk aksi suku akhir dan separuh akhir seterusnya hingga ke final. Itu yang kita buat dalam pertandingan di peringkat tertinggi,” katanya yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mutu pengadilan sekali lagi menjadi ‘buah mulut’ selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 antara TFC dan JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, yang berkesudahan 1-1, Isnin lepas.

Ia susulan beberapa insiden kekasaran yang berlaku pada aksi tersebut yang dianggap tidak ditangani dengan baik, dengan situasi itu turut mendapat perhatian pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berpendapat pengadil bertugas tidak menunjukkan mutu pengadilan yang baik. – BERNAMA