Minta isu kelapa sawit dan getah sentiasa diberi perhatian

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta terus mengadakan pelbagai inisiatif dan program yang dapat memastikan komoditi negara sentiasa mendapat permintaan tinggi dan membantu pertumbuhan ekonomi.

Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) berkata, industri minyak sawit memainkan peranan penting di mana sektor itu menyumbangkan 4.67 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

Advertisement

Malah ujarnya, sawit membawa jumlah pendapatan eksport sekitar RM64.84 bilion, namun di sebalik prestasi memberangsangkan itu, wujud cabaran di peringkat global yang mempengaruhi kedudukan pasarannya.

“Isu paling ke hadapan ialah serangan Kempen Anti Minyak Sawit yang mengaitkan isu kesihatan alam sekitar dan hak asasi manusia secara pukul rata. Serangan ini memalitkan sentimen negatif seterusnya menyebabkan penurunan permintaan.

“Kalau kita lihat kebanyakan masyarakat di Eropah amat sensitif apabila melibatkan isu-isu kelestarian alam sekitar dan juga hak asasi manusia,” ujarnya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, di sini semalam.

Menurut beliau, disebabkan faktor tersebut, saluran media dan komunikasi telah mengambil isu yang berkenaan tanpa menyelidiki fakta secara tepat di mana ia menuntut kerajaan menggunakan strategi advokasi menghadapinya.

Cadang beliau, saluran media sosial perlu dimanfaatkam untuk memulihkan imej minyak sawit negara di peringkat global kerana mempunyai keterangkuman lebih meluas, sekali gus salah faham boleh diperbetulkan lebih pantas dan berkesan.

Beliau juga memuji program Persijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang memberi manfaat kepada lebih 400,000 pekebun kecil untuk mendapatkan hasil Buah Tandan Segar (BTS) yang bermutu tinggi.

Che Alias juga berharap pengiktirafan MSPO diterima di peringkat global dan mampu menarik pelaburan baharu ke negara ini serta membantu kementerian meneroka pasaran baharu untuk tujuan eksport minyak sawit.

Menyentuh mengenai program Peningkatan Produktiviti Getah yang akan diperkenalkan, beliau meminta perancangannya mengambil kira pekebun kecil yang dihimpit keperitan dan kemiskinan susulan harga getah yang rendah.

“Saya berpendapat, harga lantai yang dicadangkan mampu membantu lebih ramai kalangan pekebun kecil untuk keluar daripada himpitan kemiskinan hidup.

“Bukan itu sahaja bahkan ia bakal turut menarik golongan anak muda untuk berkecimpung dalam sebagai pekebun kecil seterusnya mampu memacu ekonomi secara mikro di kawasan-kawasan luar bandar khususnya,” ujarnya.

Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) ketika membahas perkara sama menarik perhatian terhadap isu kekurangan tenaga pekerja yang diharapnya agar kerajaan dapat mengatasi masalah tersebut. 

“Saya juga berharap akan wujud inisiatif atau program yang membantu mempercepatkan mekanisasi dan automasi di sektor kelapa sawit untuk mengurangi kebergantungan sektor perladangan kepada tenaga kerja dan membantu meningkatkan produktiviti.

“Dalam masa yang sama, kerajaan sepatutnya melakukan pelbagai R&D termasuk cara inovatif untuk menuai dan memproses buah kelapa sawit serta meningkatkan mekanisme pertanian dan automasi yang tepat.

“Termasuk bekerjasama dengan MOSTI dan agensi di bawahnya bagi mempercepatkan usaha mendapatkan mekanisme baharu yang canggih dan sesuai dengan keperluan semasa,” ujarnya.

Turut dicadangnya adalah mempelbagai inovasi produk daripada sawit seperti gula yang dihasilkan negara Indonesia dan biodiesel bagi sektor pengangkutan serta industri, dan juga promosi berkaitan.

Bagi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) pula, beliau mencadangkan pembayaran kepada tahap tertinggi walaupun ketika ini berlaku kenaikan harga getah globaln bagi membantu golongan penoreh dan juga pekebun kecil.

Menurut beliau, walaupun harga getah telah meningkat, beliau mencadangkan pihak kerajaan tetap meneruskan bayaran IPG sekurang-kurang RM0.50 sekilogram khususnya di musim tengkujuh ini.

“Kerana walaupun harga getah naik, tetapi saya dimaklumkan dalam bulan November ini sahaja, hanya sekitar bawah daripada tujuh hari mereka dapat menoreh,” pohonnya.

Beliau juga menggesa kerajaan mengawal mekanisme keseimbangan di antara permintaan dan penawaran di pasaran antarabangsa kerana ketidakstabilan harga merupakan satu risiko besar dalam pasaran komoditi.

“Negara kita menjadi pengeluar getah asli ketujuh di dunia. Dalam masa yang sama, kita banyak menggunakan tayar import dari luar negara. Dengan sumber getah yang sedia ada, kenapa kerajaan tidak menggiatkan lagi industri pengeluaran tayar buatan Malaysia? Adakah sudah terdapat kajian mengenai ini?

“Saya pasti seandainya kita berjaya menjadi pengeluar tayar dengan menggunakan sumber getah kita sendiri, akan berlaku lonjakan permintaan terhadap getah dan tentu ia akan memberi kelebihan kepada harga getah di dalam negara kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/11/2021