Melaka melumpuhkan PH

- Advertisement -

PILIHAN Raya Umum Negeri Melaka yang ke-15 telah pun selesai dan pemenangnya telah pun diketahui. Ia telah mendapat liputan yang meluas malah seluruh negara memberikan tumpuan padanya. Analisa dan komen berkenaannya terus melimpah di media sosial dan tidak dijangka reda dalam waktu yang terdekat. Keputusan akhir BN 21, PN 2 dan PH 5.

- Advertisement -

Ramai yang menyentuh berkenaan kejayaan BN serta peningkatan undi buat calon-calon PN. Saya percaya ia akan membuka banyak tingkap perbincangan dan kajian. 

Saya walau bagaimanapun lebih berminat mahu mengulas isu berkenaan prestasi Pakatan Harapan. Bukankah PH yang menang dan membentuk kerajaan negeri pada PRU ke-14 dahulu?

Pada PRU ke-14 dahulu PH merampas kerajaan negeri dari BN, iaitu pertama kali sejak Merdeka dengan memenangi 15 kerusi berbanding BN hanya 13. 15 kerusi PH ketika itu dimenangi 8 DAP, 3 PKR, 2 PAN dan 2 BERSATU yang ketika itu merupakan komponen PH. 

ADUN PAN Adly Zahari telah diangkat sebagai Ketua Menteri PH yang pertama. Kerajaan Negeri Melaka ketika itu ternyata didominasi oleh DAP dengan menguasai 8 dari 15 kerusi PH. 9 dari 15 ADUN Kerajaan PH ataupun 60 peratus adalah bukan-Islam.

Namun kerajaan ini tidak bertahan lama apabila Kerajaan Persekutuan PH roboh berikutan perletakkan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan parti BERSATU keluar meninggalkan kerajaan serta membentuk kerajaan baru dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dengan dukungan BN, PAS dan GPS. 

Tindakan BERSATU meninggalkan PH bermakna di Melaka juga PH kekurangan majoriti dan kerajaannya turut roboh. PH menang besar dalam PRU ke-14 termasuk menguasai Melaka dan beberapa buah negeri. Ketika itu ramai penganalisa politik menjangkakan politik masa depan Malaysia akan dipengaruhi landskapnya oleh PH dan tiada lagi parti yang mampu menghalang kebangkitannya. 

DAP buat pertama kali memiliki saham besar dan cukup dominan di peringkat Pusat dan negeri-negeri, lantas telah bijak menggunakan kesempatan ini untuk melaksanakan dasar-dasar perjuangannya.

Justeru apabila penguasaan PH roboh di Putrajaya dan di Melaka, banyaklah tuduhan liar dilepaskan termasuklah mendakwa bahawa kerajaan yang baru ini adalah kerajaan ‘pintu belakang’ yang tidak mendapat mandat dari rakyat. Itulah yang dijaja saban hari oleh PH berikutan terlucutnya kuasa dari tangan mereka.

Apabila berlaku PRN Melaka baru-baru ini, peluang untuk membetulkan persepsi ini terbuka luas, setelah kuasa diberikan kembali kepada rakyat Negeri Melaka untuk menentukan kerajaan yang bakal memimpin mereka untuk penggal ke-15 ini.

Jika PH mendakwa kuasa dicuri dari tangan mereka pada Mac 2020 lalu, maka inilah peluang bagi mereka untuk membuktikan yang rakyat marah dengan tindakan itu, dan rakyat khasnya di Melaka akan kembali memberikan sokongan dan kemenangan kepada mereka.

Lalu dikerahkanlah segala bala kekuatan PH dari kalangan DAP, PKR dan PAN untuk memberi tumpuan ke Melaka, turun beramai-ramai bagi memastikan kekalahan ‘pintu belakang’ mereka tempoh hari akan dapat ditebus kembali dalam PRN ini. Pimpinan tertinggi PKR, DAP dan PAN berkampung di Melaka sepanjang tempuh berkempen.

PKR meletakkan Ketua Penerangan mereka, yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, bertanding di DUN Paya Rumput, Pengerusi PAN Negeri dan mantan Ketua Menteri Adly Zahari kekal di DUN Bukit Katil. PH cukup yakin mereka dapat merampas kembali Melaka dan seterusnya menuntut hak mereka untuk kembali menguasai Putrajaya nanti.

Akan tetapi PH kecewa apabila cita-cita mereka untuk merampas kembali Melaka rupanya gagal. Kali ini rakyat Melaka memutuskan memberi kemenangan kepada BN dengan 21 kerusi dan bilangan kerusi PH merosot dari 15 selepas PRU14 ke hanya 5 kali ini. Iaitu 4 DAP dan 1 PAN iaitu di Bukit Katil. 

DAP kalah di 4 kerusi yang dimenanginya sebelum ini manakala PKR pula kalah di semua kerusi yang ditandinginya. PAN hilang 1 kerusi yang dimenanginya sebelum ini iaitu di Durian Tunggal.

Bermakna dari 15 kerusi pada PRU ke-14 lalu, kekuatan PH di Melaka merosot teruk apabila hanya mampu menang 5 kerusi. Dengan prestasi seperti ini PH sudah hilang kegagahannya dan mungkin tidak mampu lagi menjadi satu ancaman besar dalam pilihan raya mendatang.

Terbaru Pengerusi DAP Negeri Melaka, yang tewas di DUN Bemban Datuk Tey Kok Kiew telah meletakkan jawatannya mengambil pertanggungjawaban atas kekalahan besar DAP di Melaka manakala ADUN DAP Bilut, Pahang, Lee Chin Chen menuntut agar Pengerusi PH Dato’ Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatan beliau sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen kerana mendakwa tindakan Anwar menerima ADUN-ADUN yang lompat di Melaka sebagai sebagai calon PH telah mengakibatkan kekalahan PH di Melaka.

Ternyata perkembangan politik semasa tidak lagi menyebelahi PH. Rakyat sudah hilang minat berkemungkinan apabila PH gagal menepati janji-janjinya dalam Manifesto PRU14 apabila diberi peluang memerintah selama 22 bulan.

Rakyat khasnya pengundi Melayu sudah hampir muktamad tidak dapat menerima DAP kerana yakin bahawa DAP tidak memperjuangkan nasib dan kepentingan mereka, kerana itu DAP cuma dapat bertahan di kerusi-kerusi majoriti bukan-Melayu di Melaka, contohnya Kesidang, Bandar Hilir, Ayer Keroh dan Kota Laksmana. Manakala di kerusi-kerusi yang melebihi 50 peratus pengundi Melayu mereka tewas.

Jika trend ini berterusan berkemungkinan besar DAP akan tewas banyak kerusi Parlimen dan kerusi DUN di negeri-negeri lain termasuk Selangor, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan lain-lain.

Parti-parti di luar PH khasnya yang membentuk Kerajaan Persekutuan, BN dan PN selain GPS perlu ambil prihatin dari hal trend ini dan perlulah segera duduk di meja rundingan bagi melakarkan langkah-langkah seterusnya bagi menamatkan sama-sekali riwayat hidup PH ini.

Melaka membuktikan bahawa PH sudah mula hilang taring, lalu jangan lagi kita beri nyawa atau kesempatan buat mereka. Parti-parti pro kerajaan perlu memikirkan bagaimana pertandingan sesama sendiri dapat dielakkan demi memberikan lebih keyakinan pada para pengundi dan seterusnya mematahkan apa sahaja saki baki kekuatan yang ada pada PH.

Selepas ini GPS akan berhadapan dengan PRN Sarawak. Dan sekali lagi PH akan dicabar. Jika trend di Melaka dapat disambung di Sarawak, PH sudah hampir pasti akan dapat dilupuskan menjelang PRU ke-15 nanti.

Semoga perkembangan ini diberi perhatian oleh semua pihak dengan harapan peluang untuk PH kembali berkuasa bukan hanya di Putrajaya malah di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan terkubur.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 25/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100009880363600/posts/1647987748873888/

- Advertisement -